suria

Karpal minta Ketua Hakim Negara letak jawatan

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh hari ini menyerahkan surat kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki TUn Azmi meminta beliau meletakkan jawatannya berikutan Zaki dikatakan telah mengaku secara terbuka terlibat dengan rasuah pada tahun 1987.

Karpal berkata, surat itu dihantar kepada kepada setiausaha Zaki melalui penasihat undang-undangnya pada jam 10.30 pagi tadi di pejabat Ketua Hakim Negara itu di Putrajaya.

"Surat itu dihantar kerana beliau tidak melaporkan kepada Ketua Kehakiman atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada ketika itu, jadi beliau bukan seseorang yang layak memegang jawatan itu.

"Saya rasa Perdana Menteri perlu mengarahkan beliau meletakkan jawatan kerana telah memalukan badan kehakiman," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ditanya sama ada satu tribunal khas perlu ditubuhkan untuk menyiasat kenyataan Zaki itu, Karpal berkata hal itu tidak perlu kerana kenyataan itu dibuat secara terbuka.

Zaki sebelum ini dikatakan telah membuat kenyataan terbuka dalam satu persidangan di Kuching pada 7 November lalu bahawa beliau telah terlibat dengan rasuah semasa bertugas sebagai peguam pada tahun 1987.

Kenyataan itu dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris keesokan harinya. Bagaimanapun, Zaki menafikan bahawa beliau pernah terlibat sama ada menerima atau memberi rasuah.

Pada 26 November lalu, Karpal telah memfailkan Notis Usul bagi membincangkan kelakuan Zaki itu mengikut Fasal 127, Perlembagaan Persekutuan yang kini telah pun tersenarai dalam Aturan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain