suria

Subsidi petrol dan diesel kepada nelayan tak akan diturunkan lagi, kata Mustapa

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mungkin dapat memenuhi tuntutan sebahagian nelayan pukat tunda supaya harga petrol dan diesel bersubsidi diturunkan kepada RM1 seliter pada masa ini disebabkan pelbagai insentif telah diberikan kepada mereka, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata selain penambahan kuota diesel sebanyak 4,000 liter sebulan sejak awal bulan ini, kerajaan turut menawarkan insentif pendaratan sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram tangkapan bagi pemilik-pemilik kapal tunda serta elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bagi anakanak kapal.

"Nak puaskan hati semua pihak memang mustahil," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Sabtu lalu Mustapa mengumumkan harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan diturunkan daripada RM1.43 seliter kepada RM1.30 seliter mulai esok tetapi ada nelayan pukat tunda yang tidak berpuas hati dan menuntut supaya ia diturunkan lagi kepada RM1 seliter.

Mustapa berkata jika dilihat daripada segi logik, dan daripada maklumat tidak rasmi, nelayannelayan tersebut sebenarnya turut memperoleh pendapatan yang besar.

"Peruntukan untuk insentif pendaratan adalah RM130 juta setahun, dan jangkaan tuntutan adalah RM11 juta sebulan tapi yang dituntut cuma RM2.9 juta saja.

Ini bermakna mereka juga mendapat pendapatan yang besar kerana mereka tidak memerlukan insentif ini, (malah) ada yang takut buat pengisytiharan, takut pihak lain mendapat rahsia kejayaan mereka.

"Harga ikan pun dah naik secara purata RM1 sekilogram berbanding tahun lalu. Ini membuktikan mereka tidaklah susah," katanya.

Dalam ucapannya pula, Mustapa berkata kementerian akan merangka strategi bagi memperkasakan sektor pertanian negara khususnya sebagai dalam mengimbangi impak kemerosotan ekonomi yang mungkin dihadapi pada masa hadapan.

Ini kerana, katanya, berbanding dengan sektor-sektor lain, sektor pertanian, termasuk sektor ternakan dan akuakultur, akan terus menikmati permintaan dalam pasaran walaupun dalam situasi kegawatan ekonomi.

Kementerian juga sedang merangka dasar pertanian baru bagi tujuan itu, kata Mustapa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain