suria

Sengketa politik dalaman terus hantui SUPP

KUCHING:Persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selama tiga hari yang baru saja berakhir, meninggalkan anggota parti dan pemerhati politik dengan pertanyaan berhubung masa depan parti berkenaan, iaitu antara anggota komponen tertua Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Sebabnya ialah parti masih bergelut dengan sengketa politik dalaman parti, pemimpin kanan masih memegang jawatan dan kurangnya pemimpin pelapis untuk mengambil alih kepimpinan parti.

Hakkat bahawa parti masih terus berdepan dengan masalah sengketa dalaman telah mengakibatkan pemimpin tertinggi parti, menerusi keputusan sebulat suara, memutuskan untuk mengekalkan status quo sebahagian daripada pemimpin terbabit dalam usaha menstabilkan parti.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang terus menerajui parti selepas TDC itu, secara terbuka menyatakan cabaran terbesar beliau sekarang adalah bagaimana untuk meminimumkan semua sengketa dalaman parti itu.

"Kami perlu bersikap tegas berhubung sengketa dalaman ini. Kalau mereka tidak dapat menyelesaikannya dalam masa enam bulan, saya terpaksa menggunakan kaedah 'tien san" iaitu menggantung cawangan tertentu," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini.

Dr Chan berkata "yang sudah tu sudahlah" dan mulai sekarang anggota parti tidak punya banyak pilihan, sebaliknya bersatu padu dan meminimumkan segala pertengkaran dalaman serta pertelingkahan puak sebelum pilihan raya negeri yang akan datang.

"Jika kami membenarkan pertandingan, mereka akan terus menerus bertelingkah dan masa untuk memulihkannya bertahuntahun," katanya.

Bukanlah rahsia lagi bahawa parti itu kini berpecah kepada beberapa kumpulan dan puak sehingga ke tahap ada cawangan yang mempunyai jawatankuasa berlainan.

Sebelum ini, pertengkaran dalaman parti terhad kepada tiga kumpulan utama iaitu Kuching, Sibu serta Miri, dan kini merebak ke peringkat akar umbi membabitkan pemimpin di peringkat cawangan dan pusat.

Chan berkata parti tidak ada pilihan lain melainkan menghentikan pertengkaran dalaman kerana jika tidak ditangani, ia akan membawa kepada masalah yang lebih serius, misalnya politik wang.

"Setakat ini kami belum berdepan dengan politik wang tetapi jika sengketa dalaman ini berterusan, ia akhirnya akan menjurus kepada masalah itu," katanya.

Beliau berkata masih ada harapan untuk memulihkan keadaan dalam parti memandangkan terdapat beberapa anggota muda yang berpegang teguh kepada prinsip dan tidak terdorong ke dalam persengketaan serta perbalahan dalam parti.

"Saya akan mendapatkan beberapa pemimpin muda yang saya harap akan sesungguhnya percaya kepada prinsip dan mampu menahan tekanan daripada manamana pihak untuk membawa parti maju ke depan.

"Mereka sepatutnya menjadi pemimpin masa depan. Anda mesti ada prinsip dalam parti, jika tidak, pada akhirnya pihak yang membuat penawaran tertinggi akan mendapat mereka," katanya.

Dr Chan tidak menafikan hakikat bahawa parti itu berkemungkinan kalah teruk dalam pilihan raya negeri yang akan datang jika perbalahan dan sengketa dalaman masih wujud dalam parti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain