suria

Penghuni 14 banglo yang ranap dibenar masuk ke tapak runtuhan bagi mengambil barangan.

KUALA LUMPUR: Penghuni 14 buah banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa 6 Disember lepas dibenarkan memasuki tapak tanah runtuh untuk mencari barangan dan dokumen milik mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abd Jalil Hassan berkata keputusan itu diambil pada 11.30 pagi tadi selepas perbincangan diadakan antara Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa dan penghuni terbabit.

Bagaimanapun, katanya penghuni yang memasuki kawasan tanah runtuh terbabit harus menanggung risiko sendiri.

"Pagi ini kita telah mengadakan perbincangan dan JKR telah bersetuju membenarkan penghuni-penghuni yang terbabit memasuki kawasan tanah runtuh. Ini berikutan permintaan penghuni yang terdesak untuk mengambil barangan mereka.

"Bermula pukul 2 petang tadi, beberapa penghuni telah mula masuk ke kawasan tanah runtuh tetapi dengan diiringi anggota daripada Smart (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), bomba dan polis. Ini adalah demi keselamatan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata penghuni yang ingin memasuki kawasan tanah runtuh itu perlu mendaftarkan diri di kaunter Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang terletak di kawasan berhampiran bagi mendapatkan pas sebelum dibenarkan masuk ke kawasan itu.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain