suria

Pembelaan kes sembur Dr Mahathir ditangguh Mac depan

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret Kota Baharu hari ini menetapkan 18 dan 19 Mac tahun depan untuk mendengar pembelaan daripada ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga orang lagi secara menyembur bahan berbahaya dua tahun lepas.

Majistret Azman Mustapha menetapkan demikian setelah Nik Sapeia mengambil cuti sakit dari 13 Dis hingga 17 Disember akibat masalah sakit belakang sedangkan pembelaannya sepatunya dijalankan hari ini dan esok.

Ketika ditemui pemberita isteri Nik Sapeia, Datin Dr Suryani Yahya berkata suaminya telah menjalani pemeriksaan perubatan sebagai pesakit luar di hospital swasta di Kuala Lumpur pada Sabtu setelah mengadu sakit belakang.

"Saya terpaksa datang ke mari untuk serahkan MC (sijil cuti sakit) itu," katanya.

Nik Sapiea, 53, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini pada 11 pagi 28 Julai tahun 2006. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain