suria

Kerajaan Perak 'cakap tidak serupa bikin', kata Gerakan

IPOH: Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn menyifatkan kerajaan Perak yang diterajui Pakatan Rakyat sebagai "cakap tidak serupa bikin" berhubung keputusan hendak menukar kereta Proton Perdana V6 kepada Toyota Camry 2.4 sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya.

Katanya dua bulan selepas Pakatan Rakyat menerajui Perak, ia berjanji akan menjaga kebajikan dan prihatin dengan keperluan rakyat tetapi sekarang terbukti janji yang ditaburkan sebelum ini hanyalah cakap kosong sematamata kerana mereka mementingkan diri sendiri dengan niat untuk membeli kereta mewah demi keselesaan mereka.

"Alasan kos penyelenggaraan kereta nasional mahal yang digunakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah tidak benar dan bertujuan mengaburi mata rakyat," katanya pada sidang akhbarnya di Wisma Gerakan di sini hari ini.

Chang, yang juga Pengerusi Gerakan Perak, berkata sebagai seorang rakyat Malaysia yang membayar cukai, beliau tidak bersetuju dengan tindakan terbabit kerana wang yang digunakan adalah milik rakyat yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan negara.

"Kami tidak kisah jika Menteri Besar dan ahli exco kerajaan negeri ini ingin menggunakan kereta Rolls Royce sekalipun jika mereka menggunakan duit sendiri tetapi hak rakyat tidak seharusnya disalah gunakan," katanya.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, kerajaan Perak sepatutnya menyokong industri kereta nasional dengan mengutamakan penggunaan kereta Proton yang mempunyai kilang di Tanjung Malim.

Beliau berkata tindakan kerajaan negeri membeli kereta Toyota Camry dengan kos lebih RM2 juta itu menun jukkan ia tidak bersyukur dengan kewujudan kilang Proton di negeri Perak yang menyumbang RM3.7 juta setiap tahun dalam bentuk cukai pintu kepada Majlis Daerah Tanjung Malim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain