suria

Umno Tanah Merah mahukan gandingan Najib Ali Rustam

TANAH MERAH: Umno Bahagian Tanah Merah sebulat suara mencalonkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti pada pemilihan Mac depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula dicalonkan sebagai Timbalan Presiden dalam mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, di sini hari ini.

Seramai 399 perwakilan hadir dalam mesyuarat itu turut mencalonkan tiga tokoh bagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah pada 8 Nov lepas terpaksa ditangguhkan selepas ahli jawatankuasa bahagian itu, Abdul Rahman Ibrahim, mengemukakan saman pemula pada hari itu meminta mahkamah menghalang 32 anggota Umno itu mengambil bahagian dalam mesyuarat.

Abdul Rahman menamakan 32 anggota bahagian itu sebagai tidak sah kerana gagal menjelaskan yuran mengikut syarat ditetapkan perlembagaan parti.

Berikutan itu Abdul Rahman dipecat keahliannya oleh ibu pejabat parti manakala pada 3 Dis lalu Mahkamah Tinggi Kota Baharu mengetepikan dengan kos injunksi terhadap 32 anggota Umno Bahagian Tanah Merah yang dibuat Abdul Rahman, sekaligus membolehkan mesyuarat bahagian itu diadakan semula. BERNAMA 13/12/1136MST

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain