suria

Usah promosi ideologi politik, bantu kami - Penduduk Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Persatuan Penduduk Bukit Antarabangsa (BARA) hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan parti-parti politik yang mengambil kesempatan menggantung iklan di beberapa pusat operasi bantuan bertujuan untuk mempromosi parti mereka.

Jurucakap persatuan itu, Dr Mohamad Rafick Khan berkata, hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan pada waktu ini, kedua-dua parti dari kerajaan dan pembangkang sepatutnya bekerjasama membantu mengsa kejadian tanah runtuh di kawasan itu yang berlaku pada Sabtu lalu.

"Mereka sepatutnya duduk semeja berbincang untuk membantu tapi sebaliknya mereka bersaing sesama sendiri untuk menunjukkan siapa lebih baik," katanya dalam satu sidang media di Bukit Antarabangsa di sini.

Mohamad Rafick berkata, hal itu seterusnya telah menimbulkan sentimen politik apabila ada mangsa yang tidak mahu pergi ke pusat bantuan yang bukan diuruskan oleh parti yang disokongnya.

Beliau berkata, kesemua ahli politik ini dipilih oleh rakyat untuk membela nasib mereka.

Justeru katanya, mereka tidak mahu sikap sedemikian wujud dalam diri pemimpin dalam keadaan rakyat benar-benar memerlukan bantuan mereka.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan penubuhan BARA yang dianggotai oleh wakil penduduk dari lapan taman perumahan di Bukit Antarabangsa iaitu Taman Bukit Utama, Taman Utama Tropicana Villa, Puncak Bukit Utama, Taman Bukit Jaya, Kyoto Gardens, Oakleaf Condominium, Laman Oakleaf dan Sinaran Ukay.

Mohamad Rafick berkata, persatuan itu ditubuhkan berikutan penduduk merasakan perlunya satu persatuan untuk melihat keperluan penduduk dalam menyuarakan pelbagai masalah, cadangan dan tindakan bagi memastikan keselamatan sosial dan persekitaran Bukit Antarabangsa.

"Objektif kami adalah untuk menjadikan Bukit Antarabangsa tempat yang selamat.

"Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak berkuasa lain bagi mencari jalan penyelesaian jangkamasa pendek dan panjang berikutan masalah yang timbul daripada kejadian tanah runtuh ini," katanya.

Beliau berkata, salah satu isu utama yang akan difokuskan dalam jawatankuasa yang baru ditubuhkan itu adalah keselamatan kawasan itu pada masa hadapan.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) semalam supaya memperkenalkan akta baru seperti yang digunapakai di Hong Kong bagi mengawasi dan memantau projek pembangunan tanah tinggi dan cerun bukit, Dr Mohamad Rafick berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan akta itu.

Beliau turut meminta pihak media supaya tidak menulis berita berdasarkan sumber daripada pihak berkuasa yang tidak diketahui identitinya.

"Penulisan berita yang hanya merujuk sumber tanpa diketahui identiti sebenar sumber itu akan menimbulkan keraguan sama ada apa yang disampaikan itu benar atau tidak," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terima kasihnya kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang enam hari mereka mereka menghadapi kesukaran termasuk dari segi makanan dan tempat tinggal berikutan kejadian tanah runtuh itu.

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku kira-kira 4 pagi Sabtu lalu telah meragut empat nyawa dan menimbus enam unit banglo di Taman Bukit Mewah dan lapan di Taman Bukit Utama.

Kira-kira 2,000 dari empat taman perumahan berhampiran diarah mengosongkan rumah mereka atas faktor keselamatan.

Artikel Lain