suria

Saksi: Kiamat sudah tiba bila tanah runtuh berlaku depan mata

KUALA LUMPUR "Kami terasa seperti terbuai-buai di dalam sampan dan ketika itu kami hanya fikir kiamat sudah tiba dan maut boleh hadir pada bilabila masa sahaja," kata salah seorang daripada dua anggota polis yang berada hanya kira-kira dua meter dari tempat kejadian, semasa cerun tanah di Bukit Antarabangsa mulai runtuh, merempuh banglo dilerengnya dalam kejadian Sabtu lepas.

Konstabel Mohd Rizalmay Alias, 24, bersama rakannya Konstabel Azwan Shuib ketika itu sedang meronda di kawasan berkenaan apabila mereka melihat pokokpokok mulai tumbang dan banglo diranapkan oleh tanahtanah yang menuruni lereng bukit itu, di depan mata mereka.

Mohd Rizalmay berkata sebelum kejadian, beliau bersama Azwan sedang meronda berdekatan dengan Kondominium Impian Selatan apabila secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus pada kira-kira pukul 3.55 pagi.

Beliau berkata pada masa itu juga pelbagai bunyi bising termasuk bunyi letupan, percikan api dan pokok patah kedengaran di Taman Bukit Mewah berdekatan kawasan berkenaan.

"Sejurus selepas mendengar bunyi letupan, kami bergegas memandu ke jalan utama untuk melihat apa yang berlaku," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Ketika berada di jalan besar, kami terasa seolah beralunalun dan kami melihat percikan api pada wayar elektrik sebelum sebatang tiang elektrik tumbang hampir mengenai kereta peronda kami," katanya.

Katanya beliau yang terkejut dengan kejadian itu bertindak pantas dengan mengundurkan kereta kirakira enam meter sebelum tanah runtuh berlaku betul betul di depan mata mereka.

"Ketika itu kami nampak sendiri pokok dan rumah bergerak sebelum ranap. Jika kami lambat bertindak undurkan kereta walaupun sesaat, mungkin kami yang ditelan oleh tanah itu," katanya.

Ketika kejadian, mereka bersama sebuah lagi kereta peronda yang diketuai oleh ASP Mohd Yatim Osman sedang menjalankan Ops Rantau dalam operasi cegah jenayah sekitar kawasan perumahan di tempat kejadian tanah runtuh.

Mohd Yatim berkata ketika kejadian beliau bersama dua lagi anggota polis sedang meronda di pangsapuri Riverdale Park yang turut berada berdekatan kawasan kejadian.

Beliau berkata kedua-dua kereta peronda itu terus bertindak pantas dengan segera membunyikan siren dan mengarahkan semua penduduk sekitar supaya meninggalkan rumah mereka dengan segera.

Katanya beliau terus menghubungi bilik gerakan, Jabatan Pertahanan Awam (JPA) serta Bomba dan Penyelamat bagi memaklumkan kejadian yang baru sahaja berlaku itu.

Beliau bersama anggota yang lain, termasuk seorang penghuni di situ DSP M.V Srikumar dari bahagian Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman bertindak membawa kumpulan penghuni yang terperangkap menggunakan laluan alternatif ke kawasan selamat.

"Dalam kekalutan itu, kami berjaya membawa keluar lebih 300 penduduk berhampiran dengan kawasan itu melalui laluan alternatif dengan berjalan kaki dalam kegelapan malam.

"Kami khuatir jika berlaku lagi kejadian tanah runtuh, itu sebabnya kami tidak benarkan penduduk hampir dengan kawasan tersebut kerana memikirkan keselamatan mereka. Kami cuma sempat mengarahkan mereka turun dan selamatkan diri biarpun masingmasing sedang panik ketika itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain