suria

Saksi: Kiamat seolah di depan mata

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang menyaksikan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Sabtu lalu menyifatkan kejadian yang berlaku didepan mata mereka seperti kiamat dan berada diambang maut.

Dalam tragedi yang berlaku kira-kira pukul 3.55 pagi, Konstabel Mohd Rizalmey Alias dan Konstabel Mohd Azwan Shuib yang sedang membuat rondaan di kawasan Kondominium Impian Selatan berkata, mereka merasakan sendiri pergerakan tanah ketika melalui kawaan tersebut dengan kenderaan pacuan empat roda.

"Kami berasa seperti berada di dalam sampan yang bergerak-gerak semasa kejadian itu berlaku dan melihat percikan api yang kuat hasil daripada kabel elektrik yang terputus.

"Pada ketika itu kami hanya berada pada jarak kira-kira dua hingga tiga meter dari tempat runtuhan," katanya ketika ditemui di pusat operasi bencana di sini hari ini.

Kejadian tersebut telah meranapkan 14 buah rumah iaitu yang kedua terburuk selepas tragedi runtuhan Highland Tower pada tahun 1993.

Rizalmey berkata apabila melihat pergerakan tanah dan runtuhan rumah dengan begitu pantas, beliau yang memandu kenderaan peronda itu segera berundur sehingga jarak selamat bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

"Pada mulanya saya seakan tidak percaya dengan apa yang saya lihat, namun selepas bertanya kepada Azwan sama ada beliau turut nampak apa yang berlaku, beliau segera mengarahkan saya untuk berundur.

"Kira-kira lima saat saya terpaku dan tidak bertindak, mujur Azman yang berada disebelah menyedarkan saya," katanya menceritakan saat-saat cemas yang dihadapinya.

Katanya jika beliau tidak bertindak pantas, mungkin kedua-dua mereka juga terlibat dalam kejadian yang meragut empat nyawa sehingga kini.

Bagaimanapun mangsa kelima yang dipercayai seorang pembantu rumah wanita warga Sri Langka yang dilaporkan hilang dan terlibat dalam runtuhan berkenaan tidak dijumpai.

Dalam pada itu, Azwan yang baru berkhidmat dalam pasukan polis selama setahun melahirkan rasa syukur kerana terselamat dalam kejadian tersebut.

"Saya rasa sangat bersyukur dan sudah pasti pengalaman ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila," katanya.

Turut membuat rondaan keselamatan pada kejadian awal pagi itu ialah ASP Mohd Yatim Osman, Inspektor Mohd Fazli dan Sarjan Nordin Awang Mat Salleh.

Ketiga-tiga mereka menaiki kenderaan peronda berasingan dan sedang membuat rondaan operasi cegah jenayah 'Ops Rantau' di sekitar kawasan Kondominium Oakleaf.

Mohd Yatim berkata kira-kira pukul 3.45 pagi bekalan elektrik dibahagian atas kawasan perumahan Bukit Antarabangsa itu terputus secara tiba-tiba.

"Sebaik sahaja elektrik terputus, saya segera menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memaklumkan mengenai perkara itu.

"Namun beberapa minit kemudian, saya menerima maklumat bahawa berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan," katanya.

Sejurus mendapat maklumat tersebut beliau mengambil langkah segera dengan membunyikan siren kecemasan dari kenderaan peronda dan mengarahkan penduduk di kawasan perumahan itu mengosongkan kediaman mereka menggunakan alat pembesar suara.

Turut terperangkap dalam kejadian itu ialah DSP M.V Srikumar M. Nair yang merupakan salah seorang penduduk di Kondominium Impian Selatan.

Beliau yang sedang tidur pada ketika itu menyedari mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan perumahannya turut membantu mengarahkan penduduk keluar dari rumah masing-masing.

Tindakan pantas enam anggota polis yang turut terputus hubungan kerana jalan utama yang menghubungkan lapan kawasan perumahan yang terdapat di kawasan bukit tersebut telah berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa daripada terlibat dalan runtuhan itu.

Mohd Yatim berkata kesemua anggota polis berkenaan berjaya mengawal keadaan dengan baik dengan memastikan keselamatan penduduk terjamin.

"Kami segera mengarahkan mereka berkumpul di satu tempat yang selamat dan tidak panik kerana apa yang penting ialah keselamatan penduduk di sini sentiasa terjamin," katanya.

Selepas keadaan terkawal, anggota polis cuba mencari laluan alternatif bagi membolehkan penduduk dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

"Akhirnya kami menemui satu laluan dari arah kolam renang Kondominium Impian Selatan turun kebahagian bawah kawasan perumahan Bukit Mewah yang turut terjejas akibat runtuhan itu.

"Hanya laluan itu sahaja yang boleh digunakan dan kami terpaksa bertindak dalam keadaan gelap," katanya.

Penduduk dibawa keluar melalui denai pada jarak kira-kira 20 meter dalam keadaan gelap melalui kawasan rumah yang turut musnah di Taman Bukit Mewah.

"Ada hikmahnya juga secara kebetulan kami semua turut terperangkap semasa membuat rondaan pada pagi itu kerana sekurang-kurangnya kami dapat memberi pertolongan awal sebelum bantuan diterima.

"Allhamdulillah kami turut mendapat pertolongan daripada pasukan rukun tetangga yang berkawal pada pagi itu," katanya.

Dengan kekuatan enam anggota polis serta masyarakat setempat mereka berjaya mengeluarkan kira-kira 700 penduduk bermula pada pukul 4 pagi hinggan 11 malam hari berikutnya.

Artikel Lain