suria

Penghuni pusat serenti maut dalam pergaduhan

IPOH: Seorang penghuni Pusat Serenti Perlop, Sungai Siput, 50km dari sini meninggal dunia selepas diserang oleh beberapa pelatih lain dalam pergaduhan di pusat itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, mangsa Yunus Abdullah, 48 meninggal dunia di Hospital Siput akibat cedera di bahagian kepala yang dipercayai dipukul dengan objek keras.

Pada kejadian pukul 3 petang semalam, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan dan bagaimanapun meninggal dunia dua jam kemudian.

Zulkefli berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog bersama beberapa anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Berikutan dengan kejadian itu, polis menahan 50 pelatih di pusat tersebut untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengenai program dialog itu, beliau berharap orang ramai tidak perlu takut untuk membuat laporan polis jika mendapati anggotanya kurang mesra atau tidak memberikan kerjasama membuat laporan berhubung kes jenayah.

Katanya polis mengalu-alukan orang ramai memberi maklumat atau maklum balas berhubung masalah yang dihadapi terutama mengenai keselamatan di tempat tinggal mereka.

"Setiap aduan yang diterima daripada orang awam, polis akan meneliti serta mencari jalan untuk menyelesaikan dan kerjasama orang awam amat diperlukan", katanya.

Dialog tersebut yang bertujuan mendapatkan respon daripada orang awam mengenai keberkesanan kerjasama antara polis dan orang ramai disertai oleh Lions Club, Dewan Perniagaan Cina, Yayasan Strategik Sosial, wakil akhbar dan persatuan penunggang motosikal. BERNAMA

Artikel Lain