suria

Kes kecurian mikrocip RM48 juta selesai

PULAU PINANG: Kes kecurian mikrocip milik sebuah syarikat multinasional yang dilarikan dari sebuah gudang di Kompleks Kargo Udara di Batu Maung dua tahun lepas, telahpun diselesaikan dengan lapan lelaki dikenakan tindakan mengikut Ordinan Darurat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid berkata polis berjaya menahan lapan lelaki tempatan yang mengakui terlibat dalam kecurian itu tetapi tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka di mahkamah. Sehubungan itu, polis menggunakan Ordinan Darurat untuk menahan mereka selama dua tahun di Simpang Renggam sebagai tindakan pencegahan, katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di sini.

Sidang akhbar itu diadakan selepas Lim mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk industri dan polis bagi mencari kaedah menghadapi kesan ekonomi yang tidak menentu pada tahun depan.

Bagaimanapun, Salleh berkata semua mikrocip bernilai RM48 juta milik Intel itu tidak dapat ditemui semula kerana dipercayai telah dibawa ke luar negara.

"Kes itu telah diselesaikan tetapi tidak diumumkan kepada awam. Bagaimanapun siasatan kes ini tidak ditutup. Kita akan meningkatkan kerjasama dengan pihak industri dari semasa ke semasa bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang," katanya.

Salleh berkata 30 orang telah ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung kes itu tetapi hanya lapan sahaja yang dikenakan tindakan kerana yang lain didapati tidak terlibat. Dalam rompakan kira-kira pukul 2 pagi, 20 Nov 2006, sekumpulan 20 lelaki termasuk empat yang berpakaian seragam Rela menyerang dan memukul 17 pekerja Kompleks Kargo Udara dan melarikan mikrocip menggunakan dua buah lori kontena.

Lebih dramatik, beberapa pekerja juga dipaksa meminum sejenis cecair dipercayai kloroform sehingga mereka muntah-muntah dan pengsan.

Lima hari kemudian, dua lori kontena yang dipercayai digunakan dalam rompakan itu ditemui kosong di kawasan rumah kedai yang belum diduduki di Taman Idaman, Simpang Ampat, Nibong Tebal.

Sementara itu, Lim mencadangkan supaya polis mewujudkan pos kawalan di kedua-dua hujung Jambatan Pulau Pinang bagi meningkatkan pengawasan keselamatan terutamanya kenderaan yang membawa barangan dari kilangkilang agar tidak dirampas di pertengahan jalan.

Katanya keselamatan barangan milik industri amat penting bagi memastikan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini merasa selamat dan pelaburan mereka terjamin.

Kerajaan negeri, katanya bersama pihak industri akan membantu dalam usaha ini dan berharap polis dapat mempercepatkan penubuhan pos kawalan itu.

Polis pula mencadangkan agar pengurusan jambatan iaitu Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) memasang lebih banyak kamera litar tertutup bukan sahaja di atas jambatan malahan di bahagian bawahnya juga.

"Bahagian bawah jambatan juga perlu diambil kira bagi memantau pergerakan melalui jalan laut dan pada masa yang sama bagi tujuan pencegahan untuk mengesan bahan peledak di bahagian bawah jambatan," kata Salleh. BERNAMA

Artikel Lain