suria

Polis: 8 ditahan sertai kempen Jerit

KUALA LUMPUR: Seramai lapan orang ditahan polis setakat ini berhubung kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" anjuran sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang dikenali sebagai Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata tiga daripadanya disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) iaitu mencetak risalah tanpa permit yang sah, manakala lima yang lain disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Kempen yang dijalankan ini telah bermula pada 3 Disember lepas dari Utara melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, dan Selatan melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan serta Selangor.

"Kemuncak kempen berkenaan merupakan acara Penyerahan Memorandum pada 18 Disember di pekarangan Bangunan Parlimen," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata polis mendapati kempen itu telah dieksploitasi parti politik tertentu untuk kepentingan politik masing-masing, selain turut mempergunakan remaja bawah 18 tahun untuk menjayakan program tersebut.

"Perbuatan mengeksploitasi remaja bawah umur tersebut didapati berlaku apabila pihak polis menahan mereka yang terlibat masingmasing dalam sekatan jalan raya pada 7 Disember lepas di Kluang, Johor dan pada 9 Disember di Kuala Kangsar, Perak," katanya.

Ismail berkata Jerit turut mengadakan beberapa aktiviti lain seperti penyerahan memorandum, penyebaran risalah, mengadakan sidang akhbar dan menyampaikan ceramah berbaur politik bagi memastikan kempen itu mendapat sokongan masyarakat.

Kesemua aktiviti yang dijalankan itu tidak mendapat permit polis, kata beliau.

Menurut Ismail, semenjak kempen itu dijalankan, dua insiden yang menarik perhatian telah berlaku.

"Pada 7 Disember, lapan buah basikal peserta kempen telah dibakar oleh orang-orang yang tidak dikenali di Yayasan Aman, Pulau Pinang dan pada 9 Disember, satu kekecohan berlaku semasa pemeriksaan polis ke atas 12 peserta kempen di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya jangan mengambil bahagian atau terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain