suria

MP BN: "Pelajar kita malas"

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini mendedahkan bahawa pelajar terutamanya di institusi pengajian tinggi kini lemah minda bukan kerana berpolitik tetapi kerana malas belajar. Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata, pelajar di universiti bukan sahaja tidak membaca buku dan hanya bergantung kepada nota dari pensyarah, malah malas untuk membuat rujukan dan malas pula membaca buku dalam bahasa Inggeris.

"Ini kerana susah, pening kepala. Pergi periksa hanya berdasarkan nota pensyarah, tutorial. Ke mana ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat pelajar kita?" katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Univeriti 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, masyarakat negara ini perlu menukar sikap daripada hanya menjadi pengguna kepada menjadi pengeluar.

Dr. Lo'Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) semasa meminta penjelasan berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Tajuddin yang menyatakan pelajar malas seolah-olah merendahkan taraf mereka dan sama ada pelajar di luar negara lebih tinggi tarafnya sehinggakan mereka boleh menyertai Kelab Umno.

Tajuddin berkata, beliau sebagai orang tua hanya memberi nasihat dan sekiranya masyarakat pelajar perlu ditegur mereka perlu ditegur dan bukan mempunyai niat tidak baik.

"Ramai yang saya temu duga, walaupun dengan memiliki ijazah sarjana mereka kurang pengetahuan am kerana mereka kurang membaca. Perkara yang perlu diperbaiki perlu diperbaiki," katanya.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata pindaan AUKU pula akan dapat memperbaiki tadbir urus universiti dan pendidikan tinggi secara holistik.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak seharusnya memadamkan api idealisme dalam tempoh singkat pelajar di universiti kerana pada masa itu berlaku lambakan idea dan maklumat yang membawa kepada ledakan fikiran dan ideaidea baru.

Ahmad juga mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi membuat kajian ilmiah sama ada benar pelajar yang terbabit dengan politik mempunyai pencapaian akademik merosot.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) berkata AUKU mengakibatkan satu ketakutan psikologi yang cukup besar kesannya.

"Mereka ada budaya 3M iaitu menyalin nota, menghafal nota dan muntah balik nota (semasa peperiksaan) dan tak ada perkara lain," katanya.

Beliau berkata membuat pindaan sahaja tidak mencukupi tetapi, sebaliknya AUKU perlu dimansuhkan terus dan diganti dengan Akta Urus Tadbir Universiti (AUTU) yang dikemukakan sebagai akta baru.

Khairy Jamaluddin (BNR-embau) pula memetik kata-kata penulis Amerika terkenal Mark Twain "Janganlah pembelajaran meng-hadkan pendidikan."

Beliau juga mencadangkan supaya saingan sihat dalam politik diadakan di kampus yang mana pada masa ini memang sudah wujud, cuma secara tidak rasmi dengan nama proaspirasi kerajaan dan proaspirasi mahasiswa.

"Kita (kerajaan) tak takut nak bersaing dengan pembangkang di kampus.

"Biar kita bersaing dan biarkan siapa yang mereka nak pangkah. Mereka (mahasiswa) bukan sahaja sebagai pelajar tetapi juga sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, pelajar juga perlu diberi kebebasan untuk menjana ideaidea baru. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain