suria

Bekas Menteri Luar Indonesia meninggal dunia

JAKARTA: Malaysia turut merasa kehilangan di atas pemergian bekas Menteri Luar Indonesia, Ali Alatas yang dianggap negarawan ulung Indonesia yang begitu banyak menyumbang kepada keakraban hubungan dua hala MalaysiaIndonesia.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga meminta delegasi Malaysia dan Indonesia pada persidangan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) menghadiahkan Al-Fatihah ke atas roh Allahyarham.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.," katanya pada awal mesyuarat ke-37 itu yang dipengerusikannya bersama selaku Menteri Pertahanan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia Juwono Sudarsono.

Allahyaraham Ali Alatas dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi di Hospital Mount Elizabeth Singapura.

Allahyarham genap berusia 76 tahun pada 4 November lepas.

Abdullah, yang mengenali rapat Allahyarham Ali Alatas semasa mereka menjadi Menteri Luar, melahirkan rasa terkejut dengan berita kematian itu dan secara peribadi merasa sedih.

Beliau berkata peranan Allahyarham ketika menjadi Menteri Luar Indonesia banyak membantu membina hubungan baik antara kedua-dua negara yang menjadikan Allahyarham negarawan Indonesia yang sangat dihormati juga di Malaysia. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain