suria

Penyamun tebuk dinding bilik air larikan barang kemas bernilai RM500,000

KUANTAN: Barangan kemas bernilai kirakira RM500,000 lesap apabila penyamun bertindak menebuk dinding bilik air sebuah kedai emas dan melarikan barangan kemas terbabit di Inderapura, Jerantut.

Kejadian itu hanya disedari pagi semalam oleh pemilik premis terbabit ketika ingin membuka kedainya setelah ditutup beberapa hari berikutan cuti sempena Aidiladha.

Sebaik membuka kedainya kirakira pukul 9 pagi, pemilik kedai berusia 46 tahun itu terkejut apabila melihat kedainya berselerak dan kamera litar tertutup (CCTV) dicabut dan ditinggalkan di atas lantai premis itu.

Setelah memeriksa kedainya itu, lelaki itu mendapati semua barangan kemas yang disimpan dalam sebuah peti besi bernilai kirakira RM500,000 telah lesap selain dinding bilik air di premis berkenaan pecah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang Supt Mohd Haris Daud ketika ditemui pemberita di sini hari ini berkata, polis menerima laporan kejadian samun itu pada 1 tengah hari semalam. "Polis sedang menjalankan siasatan dan dipercayai ia dilakukan oleh lebih daripada seorang," katanya.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan penyamun terbabit menggunakan jek atau alat pengangkat kenderaan berat bagi memecahkan bahagian dinding bilik air premis itu, katanya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di talian 09-2662222 atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pahang di talian 09-5151999 untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain