Melaka, Johor banjir; hujan 6 negeri hingga esok - Semasa | mStar

Melaka, Johor banjir; hujan 6 negeri hingga esok

[DIKEMAS KINI, pukul 9 malam] KUALA LUMPUR: Hujan sederhana dan kadangkala lebat dijangka berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka sehingga esok.

Sehingga malam ini beberapa kawasan di Melaka dan Johor sudah dilanda banjir.

Keadaan itu juga dijangka boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan itu juga meramalkan hujan sederhana dan kadangkala lebat di Sarawak sehingga Rabu ini yang dijangka boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebingtebing sungai.

Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan dijangka berterusan sehingga petang ini.

Dalam pada itu, lebih 300 orang penduduk di beberapa kawasan di tiga daerah di Melaka terpaksa dipindahkan berikutan banjir kilat yang melanda sejak awal pagi tadi berikutan hujan lebat.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata kawasan terlibat ialah di daerah Alor Gajah iaitu Taman Awan Biru dan Kampung Belimbing Dalam dengan masing-masing penduduk yang dipindahkan berjumlah 67 orang dan lapan orang.

Di Melaka Tengah, ia melibatkan 56 orang yang dipindahkan dari Taman Rambai Utama dan 150 orang dari Kampung Enam, katanya ketika dihubungi.

Di Jasin, seramai enam orang dipindahkan di Simpang Bekoh, Rim (6 orang) dan Selandar (9 orang).

Jurucakap itu berkata kesemua mangsa banjir ditempatkan di bangunan sekolah, balai raya dan juga Taman Bimbingan Kanak-kanak.

Katanya, kawasan yang dinaiki air merupakan kawasan rendah, yang dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter.

Mangsa dijangka pulang malam ini atau esok berikutan cuaca cerah di sebelah petang tadi.

Sementara itu, seramai 222 penduduk di Kluang dan Batu Pahat dipindahkan ke tujuh buah pusat pemindahan di kedua-dua daerah berkenaan malam ini selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan tanpa henti sejak pagi semalam.

Jurucakap Bahagian Keselamatan Negara (BKN) Johor berkata, 193 daripada mereka adalah penduduk di enam buah kampung di Kluang, manakala selebihnya dari tiga buah kampung di Batu Pahat.

Kampung-kampung di Kluang yang dinaiki air adalah Kampung Muhibbah, Kampung Rahman Dalam, Batu Enam Sri Lalang, Kampung Bentong Dalam, Kampung Mengkibol dan Kampung Sri Lukut, Kahang.

Tiga kampung di Batu Pahat pula adalah Kampung Batu 7, Parit Yusof dan Peladang, kesemuanya di dalam kawasan Tongkang Pecah. Katanya semua mangsa banjir di Kluang itu kini ditempatkan di empat buah pusat pemindahan yang dibuka, manakala mangsa-mangsa banjir di Batu Pahat pula ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mesyuarat BN esok bincang pilihan raya kecil

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain