suria

Mangsa tragedi: "Saya merangkak keluar semasa tanah runtuh"

KUALA LUMPUR: "Saya dengar bunyi kuat pergerakan tanah serta runtuhan bangunan, dan kemudian saya terus kejutkan semua penghuni rumah, kami bergegas merangkak keluar dari rumah," kata seorang penghuni banglo yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini semalam.

Beliau yang hanya mahu dikenali dengan nama Tan, 45, berkata, ia merupakan pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya, dan dalah hatinya beliau hanya bimbangkan keselamatan mereka sahaja.

"Kami terpaksa merangkak keluar secara perlahanlahan dari rumah yang berumur 15 tahun itu kerana runtuhan semakin teruk, dan ia diikuti dengan pergerakan tanah," kata beliau yang kelihatan masih trauma ketika ditemui di rumah rakannya di Apartmen Riverdale Park di sini.

Beliau berkata semasa merangkak dalam kegelapan itu, mereka dapat merasakan bahagian-bahagian rumah itu mulai jatuh menyembah bumi secara sedikit demi sedikit.

"Semasa kami merangkak keluar, kami dapat lihat rumah kami kelihatan berganjak dari kedudukan asal. Kemudiannya kami hanya dapat melihat ia dari kawasan halaman rumah jiran," katanya.

Sementara itu, Khor Kin Seok, 60, berkata, beliau dimaklumkan oleh seorang rakannya bahawa ada kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran dengan kondominium yang dihuninya itu.

"Mulanya saya ingat dia hanya bergurau, tapi kemudiannya baru saya lihat sendiri tragedi itu berlaku benar-benar hampir dengan kondominium Sinaran Ukay yang saya diami," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khor yang tinggal bersama anak lelakinya berkata, beliau memutuskan untuk tinggal di rumah rakannya buat sementara waktu, memandangkan bekalan tenaga elektrik dan air di kawasan kondominium itu masih terganggu sejak tragedi tanah runtuh berlaku.

Sementara itu ramai penghuni kawasan berkenaan didapati memutuskan untuk meninggalkan kediaman mereka memandangkan mereka berhadapan dengan pelbagai masalah mendapatkan bekalan makanan, air dan eletrik.

Difahamkan kira-kira 20,000 penghuni kondominium masih berada di kawasan itu, dan pihak berkuasa sedang berusaha keras membina jambatan sementara sepanjang 26 meter untuk membawa penghuni dan kenderaan mereka keluar dari kawasan berkenaan.

Jambatan jenis DR90 yang mampu menampung muatan seberat 70 tan itu dibina oleh Kor Jurutera Tentera Darat yang berpangkalan di Gemas, Negeri Sembilan, dan ia akan menghubungkan kawasan Taman Bukit Mewah dengan Riverdale Park untuk tempoh seminggu.

Sementara itu seorang mualaf dari Jepun yang menetap kirakira 13 tahun di Malaysia, Mohd Faiz Matsuno Abdullah, 40, ketika ditemui di Pusat Pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang di sini berkata, beliau bersama keluarganya dan beberapa jiran, berjalan beramai-ramai selama 30 minit dalam keadaan tanah becak menuju ke laluan alternatif untuk tiba di Pusat Gerakan Penyelamat itu semalam.

Katanya sepanjang perjalanan, beliau dapat melihat jiran yang lain masih berkemas untuk keluar dari kawasan perumahan teres dua tingkat di Taman Bukit Jaya, manakala sekumpulan anggota penyelamat masih bertungkus lumus mencari mangsa yang tertimbus.

Keluarga Mohd Faiz tiba di pusat pemindahan sementara itu pukul 7 petang semalam dengan bantuan kenderaan Jabatan Pertahanan Awam dan masih berada di pusat itu kerana tiada saudara mara terdekat.

"Alhamdulillah pelbagai kemudahan disediakan di sini dan makan minum kami terjaga," kata beliau yang merupakan satusatunya keluarga yang bermalam di pusat permindahan sementara tersebut ketika ini.

Beliau yang mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik berkata semalam ada 10 keluarga lain yang ditempatkan bersama, tetapi mereka berada di situ sekejap sahaja kerana dijemput oleh keluarga terdekat.

"Saya tidak bercadang untuk memberitahu keluarga kami di Nagoya, Jepun mengenai kejadian ini memandangkan kejadian tanah runtuh ini belum menjejaskan kediaman kami," katanya.

"Saya tidak mahu merisaukan keluarga di Jepun memandangkan ketika ini kami hanya berhadapan dengan masalah untuk keluar dari kawasan itu dan terputus bekalan elektrik," katanya kepada Bernama.

Mohd Faiz yang bekerja sebagai jurutera yang menguruskan syarikat import dan eksport di ibu kota berkata, sementara menantikan keadaan kembali pulih, beliau akan kembali bekerja pada hari Jumaat ini dan meninggalkan keluarganya di rumah mertuanya di Dungun.

"Saya juga masih belum buat keputusan untuk tinggal di mana apabila datang bertugas pada hari Jumaat nanti," katanya.

Mohd Faiz yang berkahwin dengan rakyat tempatan kira-kira 10 tahun lepas dikurniakan empat orang anak. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain