suria

Hikmah cucu demam, nenek 69 tahun dipindah segera

KUALA LUMPUR: Maimunah Abdul Hamid, 69, seorang pesakit barah tahap keempat mungkin masih terperangkap di kediamannya di kondominium Oakleaf Park berikutan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa jika tidak disebabkan cucunya diserang demam panas.

Keadaan Norfarhana Mohd Rizduan, 16, itu dimaklumkan kepada ibunya Norashikin Mohd. Tajuddin, 45 yang menginap di Hotel Melawati sebaik tiba dari Kedah sehari sebelum kejadian itu.

Selepas menerima panggilan telefon dari anaknya Nordiana, 19, mengenai keadaan anaknya itu, beliau berkejar ke tempat kejadian sebelum meminta bantuan pasukan penyelamat, katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang di sini hari ini.

Norashikin berterima kasih kepada pasukan penyelamat kerana segera membantu membawa keluar ibu dan anaknya.

Beliau yang mendapat tahu mengenai tragedi itu melalui televisyen berkata beliau sepatutnya membawa ibunya itu untuk menjalani rawatan biopsi barah 16 Disember depan.

Sementara itu, Maimunah berkata beliau pasrah kalau ajalnya sampai pada saat dia diusung keluar ketika diselamatkan anggota pasukan penyelamat dalam kejadian tanah runtuh itu.

"Mak cik diusung menegak dibawa menaiki cerun pada waktu malam, rasa bergegar, kerana keadaan tanah yang tidak rata," katanya.

Semasa diusung di dalam gelap beliau melihat empat orang, mungkin lebih, anggota keselamatan yang membantunya, katanya.

Sementara itu, Nordiana, lebih kurang pukul 9 malam mereka dibawa menaiki Produa Kembara oleh pasukan penyelamat melalui jalan alternatif.

Mereka dibawa keluar mendaki cerun dan kemudian dibawa pula ke Hospital Ampang di Pandan Indah oleh kakitangan Jabatan Pertahanan Awam setelah doktor menasihatkan agar mereka menjalani pemeriksaan lanjut.

Pagi ini, seorang lagi mangsa, Siti Rohana Saifuddin, tiba di sini dan diarahkan berehat selama lima jam tanpa sebarang pelawat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain