suria

Peluang Mohamad Sabu tanding semula belum pasti

PETALING JAYA: PAS Pusat belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan Naib Presidennya, Mohamad Sabu sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, pemilihan calon yang bakal menggalas cabaran parti itu masih terbuka dan parti itu belum menentukan calon.

"Kita akan mengemukakan sekurang-kurangnya tiga nama kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan dan akan menerima sesiapa sahaja dipilih sebagai calon," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan Pas menghadapi pilihan raya kecil itu di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berharap parti itu terus mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon bagi merebut kerusi Parlimen itu.

Mustafa berkata, Pas Pusat telah meminta Pas negeri mendapatkan maklum balas daripada akar umbi mengenai calon yang layak diberi peluang bertanding.

Justeru itu, katanya, pihaknya telah meminta bahagian dan cawangan mengemukakan senarai nama yang sesuai serta berpotensi sebagai calon parti itu.

Menurutnya parti itu menjangka pilihan raya kecil itu sengit dan yakin dapat merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail dari BN, 28 November lepas.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meninggal dunia selepas rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lepas, Allahyarham Razali berjaya menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof, 89, dengan majoriti 628 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain