suria

Najib: Kerajaan negeri perlu henti projek lereng bukit

PEKAN: Kesemua kerajaan negeri digesa mengkaji semula projek-projek di kawasan lereng bukit yang sedang dilaksanakan bagi mengelak tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa semalam berulang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek-projek berkenaan perlu dikaji semula oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi mengenal pasti sama ada kawasan berkenaan berisiko tinggi untuk mengalami kejadian tanah runtuh.

"Kalau disifatkan berisiko tinggi, maka saya harap kerajaan negeri tidak akan meneruskan pembinaan atau pelaksanaan projek di kawasan-kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lembu korban dan sumbangan cermin mata kepada warga emas di sini, hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada awal pagi semalam yang meragut empat nyawa manakala seorang lagi dikhuatiri masih terperangkap dan meranapkan 14 buah banglo di kawasan itu.

Bagi projek-projek yang belum bermula, Najib berkata, ia tidak sepatutnya dilaksanakan sama sekali.

"Kita minta kerjasama dengan semua kerajaan negeri untuk tidak meluluskan projekprojek dan mengeluarkan arahan pembangunan untuk kawasankawasan yang berisiko tinggi.

"Kalau tidak tragedi di Bukit Antarabangsa ini boleh berulang lagi dan kita tidak dapat apaapa pengajaran daripada malapetaka yang menimpa seperti mana yang telah berlaku semalam," katanya.

Najib berkata, perkara paling penting adalah tidak terpengaruh dengan pujukan pemaju yang sememangnya mahu sesuatu projek itu dilaksanakan.

Mengenai keperluan mewujudkan satu badan bagi mengenalpasti kawasan berisiko, Najib berkata: "Ikram sudah wujud. Mereka boleh melakukannya, persoalannya sama ada kita mahu mendengar nasihat teknikal mereka ataupun tidak."

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, kerajaan telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir yang lebih besar.

"Itu SOP (Prosedur Standard Operasi), kita dah mengalami masalah banjir ini dah lama, tidak ada masalah daripada segi persediaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain