suria

"Tidak boleh dibanding dengan Permatang Pauh" - Najib

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam keadaan berbeza berbanding di Permatang Pauh kerana kawasan itu sebelum ini, dimenangi calon parti berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN perlu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berbanding di Permatang Pauh, yang sebelum pilihan raya kecil, kawasan itu diwakili calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini merupakan negeri yang ditadbir oleh BN dan kawasan Parlimen kita (BN)... kita pertahankan kerusi. Keadaan di sini (Parlimen Kuala Terengganu) tidak boleh dibandingkan dengan keadaan di Permatang Pauh," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis tahlil Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail di Lorong Kenanga, Batu Burok di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai corak dan kempen yang akan dilaksanakan BN bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau akan mengumumkan perkara itu selepas mendapat gambaran sebenar daripada Umno Terengganu.

"Kita akan beritahu kemudian. Tujuan saya datang ke sini adalah bertemu dengan pemimpin di peringkat Jawatankuasa Bahagian. Selepas itu, baru dapat gambaran sebenar keadaan di sini," katanya.

Mengenai tarikh pengundian pilihan raya kecil itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, SPR menetapkan tarikh berkenaan selepas mengambil kira faktor cuaca yang melanda Terengganu pada masa ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain