Pemuda PAS P.Pinang bantah penganjuran 'I Dance'

PULAU PINANG: Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang hari ini membantah penganjuran pertandingan tarian jalanan "IDance" di Pulau Pinang kerana mendakwa ia tidak membawa manfaat kepada masyarakat.

Ketuanya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, penganjuran kempen "IDance" yang disokong oleh Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri di New World Park itu bukan sahaja menghidupkan budaya jalanan melalui tarian "Shuffle" malahan ia boleh menambahkan masalah sosial di kalangan generasi muda.

Dalam satu kenyataan, Mohamed Hafiz berkata beliau mahu supaya kerajaan negeri bertindak membatalkan acara berkenaan selaras dengan slogan pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng iaitu "Amar Ma'ruf Nahi Mungkar".

"Sokongan kerajaan negeri kepada acara itu jelas bertentangan dengan slogan pentadbiran Ketua Menteri yang mahu mencegah kemungkaran seperti yang dilakukan Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya.

Difahamkan, acara yang dianjurkan oleh Danzity Productions itu disokong oleh kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Belia dan Sukannya dan bertujuan mempromosi gaya hidup sihat untuk mengisi masa lapang golongan remaja.

Pusingan awal pertandingan itu akan diadakan pada 20 Disember ini di New World Park manakala pusingan akhir pada 27 Disember di Queensbay Mall.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bayaran pencen 15 Disember sempena Krismas

Artikel Lain

Ibu Chef Zam meninggal dunia akibat pneumonia