suria

Salah guna kuasa, Majlis Peguam gesa bubar Rela

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa membubarkan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) berikutan banyak aduan mengenai anggotanya menyalahgunakan kuasa dan melakukan kekerasan semasa melancarkan serbuan.

Pengerusi Reform Undang-undang dan Bidang Khas majlis itu, Datuk M. Ramachelvam berkata, para anggota Rela tidak dilatih untuk tugas seperti itu dan dengan membiarkan mereka melancarkan serbuan akan hanya menyebabkan amalan salah guna hak asasi manusia berlanjutan.

Beliau berkata, daripada menggunakan sumber manusia Rela, lebih wajar kerajaan menugaskan lebih ramai pegawai Imigresen melaksanakan tugas itu.

"Bagaimana mereka boleh menjadi penguat kuasa undang-undang bila mereka hanya menjalani latihan selama dua minggu? Adalah OK jika peranan mereka tertumpu kepada mengarahkan lalu lintas, tetapi bukan melancarkan serbuan.

"Rela tidak dipersiapkan untuk tugas menentukan kesahihan dokumen yang dibawa oleh pendatang. Membiarkan Rela terus mengendalikan serbuan secara bersendirian boleh menyebabkan ramai orang yang mempunyai dokumen dan tidak melakukan sebarang kesalahan mungkin turut ditahan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat mengenai "Tangkapan dan Penahanan Pendatang" di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh wakil-wakil pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Majlis itu juga menggesa kerajaan menubuhkan mahkamah sesyen khas dan mengadakan lebih ramai pembantu undang-undang bagi mempercepatkan keskes imigresen melibatkan pendatang.

"Dengan levi yang dibayar kepada kerajaan oleh pekerja asing yang hampir mencecah RM7 bilion, kerajaan hendaklah menggunakan sebahagian kecil dari jumlah itu untuk tujuan tersebut," katanya.

Mengenai isu lain, beliau berkata, rekod berasaskan pemerhatian di empat pusat tahanan menunjukkan bahawa 94.8 peratus dari pendatang asing tidak diwakili peguam, 89.8 peratus daripada mereka yang hadir di mahkamah mengaku bersalah sementara dalam 74.4 peratus kes, yang dituduh tidak diberitahu mengenai akibat dari pengakuan bersalah mereka.

Majlis Peguam, tambahnya, juga menyeru kerajaan menandatangani Konvensyen PBB mengenai Pelarian 1951, mengiktiraf kad dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pelarian diberikan hak untuk bekerja sementara menunggu repatriasi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain