suria

Lapan lelaki didakwa sebabkan konstabel polis cedera parah

MELAKA: Lapan lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan bersama empat lagi yang masih bebas, menyebabkan cedera parah seorang anggota polis berpangkat konstabel pada 21 November lepas.

Mereka sebagai anggota sebuah perhimpunan haram didakwa dengan tujuan bersama mendatangkan cedera parah terhadap Mohd Fairus Shafie, 22, dengan menggunakan topi keledar di hadapan Restoran Nasi Kandar Subaidah di Ayer Keroh di sini, pada pukul 11.05 malam.

Lapan tertuduh itu ialah Saiful Baharin Jalil, 27; Mohd Haniffaah Jalil, 26; Syarifuddin Abd Rahman, 42; Khairul Anwar Abu Hashim, 18; Razif Md Shah, 18; Johar Bahir, 22; Norhamezi Omar, 23; dan Firdaus Md Shah, 23.

Saiful Baharin, Mohd Haniffaah dan Firdaus masing-masing dari Balik Pulau, Bukit Baru di sini manakala Syarifuddin, Khairul Anwar, Razif, Johar dan Norhamezi masingmasing dari Bukit Katil di sini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Ahmad Kamar (ulang: Kamar) Jamaluddin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mereka juga diperintahkan melaporkan diri di Balai Polis Melaka Tengah pada 1 haribulan setiap bulan. Hakim itu menetapkan tarikh perbicaraan 27 dan 28 April serta 11 dan 12 Mei tahun depan.

Syarifuddin diwakili peguam Loh Chon Mee manakala tujuh lagi tertuduh diwakili peguam J.Armadas, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar.

Konstabel Mohd Fairus, yang bertugas di bahagian jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka cedera parah di kepala dan beliau yang koma kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka. Ketika kejadian beliau tidak bertugas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain