suria

Lanun samun kapal arang batu di perairan Pulau Tioman

KUANTAN: Sekumpulan lanun yang hanya bersenjatakan parang dan pisau dilaporkan menyamun sebuah kapal membawa arang batu, kirakira 10 batu nautika dari Pulau Tioman, Rompin Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata kejadian berlaku pada 9 malam ketika kapal itu dalam perjalanan dari Singapura menuju Thailand.

"Kira-kira 10 orang lanun yang menaiki dua buah bot laju bertindak menghalang laluan kapal berkenaan supaya berhenti sebelum mereka menaiki kapal tersebut.

"Kesemua mereka yang bersenjatakan parang dan pisau kemudiannya bertindak menyamun wang tunai dan telefon bimbit milik anak kapal yang kebanyakannya warga Indonesia, sebelum melarikan diri tanpa mencederakan sesiapa," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Johari, laporan polis berhubung kejadian samun itu baru dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman sebelum kes tersebut diserahkan kepada IPD Rompin untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata anakanak kapal terbabit mendakwa mengalami kerugian kira-kira 16 juta rupiah.

Katanya berdasarkan siasatan awal, lanun berkenaan dipercayai datang dari Indonesia berdasarkan loghat yang dituturkan mereka.

Pihaknya telah memaklumkan insiden terbabit kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan pihak marin, kata Johari.

Menurut beliau, kejadian samun tersebut merupakan kali kedua dilaporkan berlaku tahun ini di sekitar Pulau Tioman. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain