suria

Subramaniam: Kerja tertentu dikhaskan kepada rakyat tempatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengambil beberap langkah, termasuk memperuntukkan pekerjaan tertentu kepada rakyat tempatan, demi menjamin lebih banyak peluang pekerjaan dalam menghadapi kemelesetan ekonomi global, kata Menteri Sumber Manusia Dr. S.Subramaniam hari ini.

Beliau berkata kementerian juga sedang mempertimbang mewajibkan para majikan mendaftarkan kerja-kerja kosong di syarikat mereka dengan Jabatan Tenaga Manusia kementerian itu.

"Sebagai permulaan, kami sedang menimbang memperuntukkan kategori pekerjaan tertentu dalam pelbagai industri untuk rakyat tempatan dengan kemahiran yang tepat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Latihan Perodua di Sungai Choh, Rawang dekat sini.

Beliau berkata kementeriannya sedang berbincang dengan industriindustri berkenaan dan meminta mereka mengemukakan senarai pekerjaan yang dapat dikhususkan kepada rakyat tempatan ke Jabatan Tenaga Manusia.

"Jika majikan ingin mengambil pekerja asing untuk jawatan yang dikhaskan untuk rakyat tempatan, mereka akan diminta memberikan sebab," katanya.

Beliau berkata pada masa ini majikan mendaftarkan kerja kosong dengan kementerian menerusi portalnya 'Jobs Malaysia' secara sukarela.

Dr Subramaniam berkata sehingga kini, kira-kira 100,000 kerja kosong telah didaftarkan dengan 'JobsMalaysia', meliputi kerja seperti pemetik buah kelapa sawit hingga pengurusan atasan.

Beliau juga berkata kiosk pekerjaan akan juga dibuka di pusatpusat beli belah utama di seluruh negara di mana pencari kerja boleh mendaftar secara online.

"Ia akan menjadi pusat sehenti di mana mereka yang mencari kerja dalam sektor swasta dan awam, termasuk polis dan tentera, boleh mendaftar dan juga mendapatkan maklumat," tambahnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain