suria

India belum bagi maklum balas dakwaan pengganas guna alamat Malaysia

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata beliau masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa India berhubung dakwaan laporan media negara itu bahawa sebilangan pengganas yang melakukan serangan bersenjata di Mumbai menggunakan alamat di Malaysia untuk menyewa apartmen di bandar raya itu.

"Setakat ini, tiada sebarang maklumat disampaikan oleh kerajaan India kepada kami berhubung insiden tersebut dan ia masih kekal sebagai dakwaan semata-mata sehingga mendapat bukti-bukti terperinci.

"Pihak berkuasa India memaklumkan bahawa tiada sebarang maklum balas diterima oleh polis antarabangsa (Interpol) berhubung insiden itu dan mereka juga tidak meminta sebarang pertolongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran PDRM di Galeri Shah Alam di sini, hari ini.

Minggu lepas, laporan berita menyebut bahawa penyerang yang terbabit dalam serangan maut di Mumbai menggunakan alamat Malaysia untuk menyewa rumah di kawasan Colaba, di bahagian selatan bandar raya itu, dan melakukan serangan menggunakan refal AK47 serta bom tangan.

Selain itu, laporan media turut mendedahkan bahawa sekeping kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia dijumpai pada salah seorang pengganas yang terbunuh.

Bagaimanapun pada Selasa lepas, polis Mumbai berkata siasatan awal mendapati serangan paling buruk pengganas ke atas bandar raya itu tiada sebarang kaitan dengan Malaysia, seperti yang didakwa sebelum ini dalam jenayah terkutuk itu yang mengorbankan hampir 170 orang.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata daripada kira-kira dua juta laporan yang dilaporkan kepada polis sehingga tahun ini, hanya sebanyak 171,000 membabitkan kes jenayah yang tulen.

"Baki kes yang dilaporkan membabitkan kes pergaduhan rumah tangga dan jenayah siber yang tidak termasuk dalam indeks jenayah kita," kata beliau sambil menegaskan kadar jenayah di negara ini masih berada pada tahap yang terkawal.

Di samping itu, Musa juga menasihatkan parti politik, baik daripada pemerintah mahupun pembangkang, menjadi contoh terbaik kepada masyarakat umum dengan tidak menganjurkan perhimpunan tanpa permit.

"Boleh dikatakan pemimpin-pemimpin parti politik yang menganjurkan perhimpunan haram boleh diibaratkan sebagai penjenayah juga," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain