suria

Harga tambang MAS tidak tinggi, kata Ong

KUALA LUMPUR: Dakwaan yang menyatakan bahawa harga tambang penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sebagai tinggi tidak benar, kata Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Kiat hari ini.

Katanya tambang penerbangan MAS ditetapkan berdasarkan kepada tambang syarikat penerbangan yang merupakan pesaing kepada MAS di mana perubahan kepada harga tambang tersebut dilakukan apabila situasi pasaran memerlukannya.

"Bagi menjadikan MAS lebih berdaya saing, terutama dengan kemunculan syarikat penerbangan murah, MAS telah memperkenalkan tambang rendah melalui promosi 'Everyday Low Fare' (Setiap Hari Tambang Murah) dan akan melancarkan pelan 'Easy Fare' sebagai sebahagian daripada usaha MAS untuk menawarkan kepelbagaian tambang kepada penumpang," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Henry Sum Agong (BN-Lawas) yang bertanyakan sama ada MAS akan menurunkan tambang yang tinggi sekarang memandangkan syarikat tersebut sudah pulih dari kerugian dan mengalami keuntungan.

Promosi "Everyday Low Fare" mula diperkenalkan oleh MAS pada 5 Mei 2008 untuk perkhidmatan destinasi domestik, Asean, China, Asia Selatan dan Australia.

Pelan itu turut dilaksanakan oleh anak syarikat MAS iaitu Firefly, yang mana MAS menawarkan sebanyak 30 peratus atau bersamaan dengan satu juta keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan di sesuatu penerbangan yang tidak digunakan dengan harga tambang bermula dari RM0.00.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain