suria

Banjir diambil kira tetapkan pilihan raya kecil Kuala Terengganu

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat khas esok untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan mengambil kira masalah banjir di Terengganu yang masih tidak berubah sejak minggu lalu.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, keadaan banjir merupakan antara salah satu aspek yang akan dipertimbangkan oleh panel.

Pejabat pilihan raya negeri telah diminta menyediakan maklumat terkini mengenai musim tengkujuh dan keadaan banjir di Kuala Terengganu untuk pertimbangan esok, kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

"Kita ada berhubung dengan Jabatan Kaji Cuaca. Maklumat yang diperoleh akan dibentangkan untuk membuat keputusan panel anggota SPR," katanya.

Beliau ditanya sama ada keadaan banjir kemungkinan boleh menyebabkan pilihan raya kecil diadakan lewat, kemungkinan awal tahun depan.

Sambil menjelaskan bahawa terdapat beberapa aspek lain yang akan ditimbangkan, Wan Ahmad berkata, beliau tidak mahu mengulas lebar bimbang ada pihak yang akan membuat andaian dan spekulasi.

"Pegawai-pegawai kami sedang mendapatkan maklumat dan ia akan dibentangkan (esok)," katanya.

Bagaimanapun beliau menekankan, SPR tidak akan memandang mudah soal pengendalian pilihan raya kecil ini kerana pilihan raya kecil biasanya menjadi tumpuan dan fokus ramai.

Tambah beliau, panel juga akan memberi tumpuan berhubung tempoh kempen pilihan raya.

Ketika pilihan raya umum lalu, SPR menyediakan tempoh berkempen 13 hari.

Sehingga petang semalam, keadaan banjir di Kuala Terengganu, daerah yang terjejas teruk akibat banjir tahun ini, masih tidak berubah manakala di Kelantan keadaan semakin pulih berikutan cuaca yang baik.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata seramai 900 daripada 956 mangsa banjir di Marang dibenarkan pulang hari ini dan daerah itu dijangka pulih sepenuhnya jika tiada hujan lewat petang semalam.

"Keadaan banjir di Kuala Terengganu masih buruk dengan 1,692 orang daripada 334 keluarga masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan," katanya kepada Bernama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain