suria

Tungku Imran lepaskan jawatan dalam Kumpulan Petra

KUALA LUMPUR: Tunku Imran Tuanku Ja'afar hari ini mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengarah kesemua syarikat di bawah Kumpulan Petra dan sebagai Pengerusi Kumpulan, sambil menyatakan "cukuplah dengan apa yang berlaku.".

"Saya meletakkan jawatan kerana beberapa sebab, yang terkini membabitkan tuntutan saman terhadap saya dan Kumpulan Petra oleh bintang Hollywood Bruce Willis yang mendakwa saya mempengaruhinya untuk menggunakan wangnya untuk melabur dalam projek 'mengitar semula tayar getah menggunakan teknologi mesra alam," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama. "Saya tidak pernah bertemu Bruce Willis, atau memujuknya menggunakan wangnya.

"Saya bagaimanapun lega bahawa beliau telah menyelesaikan isu itu secara baik dengan syarikat," kata Tunku Imran, sambil menambah "mungkin permohonan maaf adalah sesuai".

Pada 20 Nov, Willis memfailkan tuntutan saman di mahkamah persekutuan Los Angeles bagi mendapatkan kembali AS$900,000 (RM3.2 million) yang beliau dakwa syarikat berhutang dengannya.

Tetapi seminggu selepas itu, peguam Willis, Martin Singer, berkata dalam satu kenyataan bahawa tuntutan sivil itu telah diselesaikan secara baik dan ia adalah hasil daripada beberapa kesilapan komunikasi.

Tunku Imran, yang mengasaskan Kumpulan Petra bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Vinod Sekhar lebih 10 tahun lepas, dalam kenyataannya juga mendedahkan rasa kecewanya dengan kumpulan itu dan menegur pihak pengurusan syarikat itu.

Katanya: "Saya telah pada setiap masa memegang kapasiti bukan eksekutif dalam kumpulan. Adalah jelas bahawa saya tidak diberitahu perkara terkini yang berlaku dan dimaklumkan semua "perkara dalaman dan luaran" syarikat.

Ini termasuk pelantikan korporat yang baru, pelaburan yang baru, lembaga pengarah yang baru, dan malah pemegang saham yang baru.

Tunku Imran berkata beliau telah mengalami banyak "kejutan" di sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kumpulan itu, yang terkini membabitkan tuntutan saman Bruce Willis.

"Insiden Bruce Willis hanyalah satu, dan malangnya, berprofil amat tinggi.

"Insiden ini telah menyebabkan keluarga saya merasa amat malu, terutamanya ayahanda dan bonda saya. Saya merasakan masanya sudah tiba untuk mengatakan "cukuplah dengan apa yang berlaku", kata Tunku Imran.

Tunku Imran merupakan putera kepada Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Beliau juga mendedahkan bahawa beliau telah melabur "sejumlah besar wang" dalam satu tempoh yang panjang dalam Kumpulan Petra tetapi tidak mendapat pulangan.

Tetapi katanya projek "mengitar semula tayar getah" mempunyai kepentingan global berikutan pengendalian dan hala tujunya yang betul.

"Sebagai pemegang saham yang besar, saya mengucapkan yang terbaik untuk lembaga pengarah dalam pasukan syarikat dan selamat berjaya," kata Tunku Imran.

Kumpulan Petra dalam satu kenyataan berikutan tuntutan saman itu menyatakan Willis telah melabur AS$2 juta tahun lepas dalam anak syarikatnya, Elastomer Technologies Ltd, syarikat pemaju teknologi untuk mengitar semula getah daripada tayar lama.

Ia menyatakan Petra telah memulangkan AS$1.1 juta (AS$1=RM3.63) kepada bintang filem itu awal tahun ini apabila beliau menarik balik pelaburannya.

Tetapi Willis dalam satu kenyataan selepas penyelesaian tuntutan saman itu berkata beliau masih mempunyai pegangan saham dalam syarikat itu dan percaya teknologi mengitar semula tayar getah itu mempunyai "potensi besar" bagi alam sekitar.

Sementara itu, Kumpulan Petra menyatakan syarikat itu telah menerima perletakan jawatan Tunku Imran.

Seorang jurucakap syarikat berkata: "Syarikat menerima perletakan jawatan Tunku Imran dengan rasa kesal. Syarikat mengakui publisiti yang kurang menyenangkan menyelubungi tindakan undang-undang oleh Bruce Willis terhadap Kumpulan Petra telah menyebabkan Tunku Imran dan kedua-dua ayahanda dan bondanya berasa malu." "Untuk itu syarikat memohon kemaafan kepada Tunku Imran dan kedua-dua ayahanda dan bondanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya kes yang diketengahkan oleh Willis adalah satu kejutan kepada syarikat memandangkan ia untuk Tunku Imran. Jurucakap itu menjelaskan bahawa kes Willis dapat diselesaikan dengan cepat dan secara baik serta telah memuaskan hati semua pihak, dengan peguam Willis menyatakan perkara itu berlaku berikutan beberapa kesilapan komunikasi.

"Syarikat mengucapkan terima kasih kepada Tunku Imran kerana telah menyumbang kepada syarikat dengan penuh dedikasi bertahuntahun lamanya.

"Beliau telah memberikan nasihat yang bernilai kepada Kumpulan Petra sebagai pengerusi yang mengasaskan syarikat dan setiap orang akan merasa sedih atas keputusan beliau meninggalkan syarikat.

"Setiap orang di Kumpulan Petra mengucapkan semoga Tunku Imran berjaya di masa depan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain