suria

Terpulang kepada Arif Shah untuk kekal di Umno - Abdul Rashid

PETALING JAYA: Terpulang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah untuk terus kekal atau keluar daripada Umno, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah.

Abdul Rashid berkata Umno Pulau Pinang tidak mengambil sebarang usaha untuk berbincang atau mengadakan pertemuan dengan Arif berhubung isu yang ditimbulkan ADUN berkenaan yang kononnya beliau kecewa dengan penyokong Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

"Kita (Umno Pulau Pinang) tak bincang kerana tak ada apa-apa masalah dalaman, tapi kalau ada seperti yang Arif Shah bangkitkan, beliau sepatutnya merujuk kepada parti dan buat laporan atau cadangan kepada Umno negeri," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, Arif sebagai ADUN Umno perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

"Apa yang dibangkitkan oleh beliau secara terbuka itu tidak mengikut saluran yang betul, beliau cuba cari alasan untuk memenuhi kepentingan peribadi.

"Nampaknya isu ini timbul setelah adanya tawaran oleh Pakatan Rakyat," katanya.

Jelas beliau lagi Umno Pulau Pinang tidak menghadapi sebarang konflik dalaman mahupun yang berkaitan dengan Umno Bahagian Permatang Pauh.

"Beliau tidak perlu mencari alasan untuk bawa kes (isu) ini sebagai kes parti, kerana ia lebih kepada matlamat peribadi," katanya.

Isu ini timbul apabila Arif mendakwa umno Bahagian Permatang Pauh yang diterajui Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sudah mula mengetepikan haknya sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

Arif turut dilaporkan menerima tawaran Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dikatakan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepadanya jika menyertai parti itu kelak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain