suria

Serangan di Mumbai tiada kaitan dengan Malaysia

NEW DELHI: Enam hari selepas serangan paling buruk pengganas ke atas Mumbai, polis bandar raya berkata kejadian itu tiada sebarang kaitan dengan Malaysia, seperti yang didakwa sebelum ini dalam jenayah terkutuk itu yang mengorbankan hampir 170 orang minggu lepas. Konsul Besar Malaysia di Mumbai, Wan Zaidi Wan Abdullah berkata polis Mumbai hari ini memaklumkan bahawa sehingga kini, siasatan yang masih berjalan itu tidak menunjukkan apa-apa kaitan dengan Malaysia.

"Mereka menafikan sebarang hubungan dengan Malaysia setakat ini. Khabar angin (terdahulu) masih belum disahkan," kata Wan Zaidi kepada Bernama, selepas menghadiri taklimat khas oleh bahagian protokol di Mumbai hari ini. "Saya sendiri telah bercakap dengan Pesuruhjaya Polis Mumbai (Hasan Gafoor) dan beliau berkata tiada kaitan seperti itu setakat ini," katanya. Minggu lepas, laporan berita menyebut bahawa penyerang yang terbabit dalam serangan maut di Mumbai menggunakan alamat Malaysia untuk menyewa rumah di kawasan Colaba, di bahagian selatan bandar raya ini, dan melakukan serangan menggunakan refal AK47 serta bom tangan.

Selain itu, laporan media turut mendedahkan bahawa sekeping kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia dijumpai pada salah seorang pengganas yang terbunuh.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Bersama (Jenayah) Rakesh Maria turut menafikan laporan bahawa pengganas yang tinggal di Colaba menggunakan kad pengenalan pelajar Malaysia.

Perangkaan terbaru selepas semakan semula menunjukkan 171 orang terbunuh, termasuk 26 warga asing dalam kejadian itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain