suria

Henti ulas isu kaum dan agama - Rafidah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Rafidah Aziz mahu semua pemimpin parti komponennya tidak bercakap mengenai isu perkauman dan agama sama ada kepada publik mahupun melalui media.

Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak akan memberi manfaat kepada rakyat sebaliknya hanya akan membawa perpecahan kepada parti.

"Saya minta semua pihak selesaikan apa-apa masalah yang timbul melalui mesyuarat...buat di dalam (mesyuarat).

"Jangan guna media siarkan apa-apa pun tentang parti," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita BN di sini semalam.

Tambah beliau, jika wujud sebarang masalah berbangkit yang melibatkan parti ia perlu dibincangkan melalui mesyuarat untuk diputuskan tindakan lanjut bagi mengelakkan sebarang provokasi.

Katanya lagi perkara utama yang menjadi tumpuannya ialah untuk memperkukuhkan BN sebagai parti pemerintah.

"Tanpa BN apa lagi yang lebih penting? BN adalah kerajaan. Jadi masalah parti komponen tidak seharusnya dilibatkan dalam hal ini," katanya.

Rafidah berkata demikian bagi mengulas sama ada pertandingan jawatan tertinggi Wanita Umno antara beliau dan naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan memberi kesan kepada BN.

Jelas beliau isu-isu dalaman setiap parti komponen tidak seharusnya dibawa ke dalam BN sebaliknya perlu diselesaikan di peringkat parti masing-masing.

"Tak ada apa yang boleh dibuat antara Rafidah dan Shahrizat, sebenarnya bila kita bercakap mengenai memperkukuhkan BN...saya lupa dia (Shahrizat) nak lawan saya (pemilihan Ketua Wanita Umno).

"Walau apa pun, perjuangan parti mesti diutamakan. Pemimpin sentiasa datang dan pergi...sama ada kami pergi atau mati, parti mesti diteruskan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Rafidah berkata Wanita BN bersedia dengan merangka pelbagai strategi untuk menghadapinya.

"Wanita BN memfokuskan di kawasan-kawasan yang ada kekuatan mengikut peti undi.

"Sebagai contoh di kawasan peti undi yang pengundinya lebih Melayu, Umno akan mengetuainya, jika kawasan itu banyak pengundi Cina, MCA akan ketuainya dan begitu juga dengan kaum India," katanya.

Mengenai peluang untuk BN memenangi pada pilihanraya kecil berkenaan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata BN akan cuba sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik dalam pilihanraya berkenaan.

Rafidah turut diajukan soalan mengenai dakwaan yang mengatakan beliau akan menarik diri bertanding jawatan Ketua Wanita Umno kerana menghadapi masalah kesihatan pada lututnya, beliau menganggap perkara itu sebagai 'sampah'.

"Saya masih sihat, malah lebih sihat dari anda kerana saya baru sahaja jalani pembedahan...minggu depan saya nak main golf," katanya sambil menyifatkan perkara berkenaan hanya sebagai cerita rekaan.

Sementara itu Rafidah turut mengumumkan penubuhan lima biro dalam Wanita BN yang bertujuan memperkukuhkan parti.

Lima biro berkenaan ialah yang berkaitan dengan latihan dan kepimpinan, perpaduan, perundangan, ekonomi serta pendidikan dan modal insan.

Jelas beliau, Wanita BN sentiasa berusaha untuk meningkat prestasi parti itu terutamanya selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain