suria

Banjir di Kuala Terengganu masih buruk, Kelantan beransur pulih

TURUN PADANG... Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt. Norazizan Anan (kiri) menasihati beberapa penduduk supaya berpindah lebih awal bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku ketika meninjau beberapa buah rumah yang ditenggelami air banjir di Kampung Simpangan.

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kuala Terengganu, daerah yang terjejas teruk akibat banjir tahun ini, masih tidak berubah manakala di Kelantan keadaan semakin pulih berikutan cuaca yang baik.

Jumlah mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu sehingga pukul 6 petang ini masih melebihi 1,000 orang manakala di Kelantan, hanya dua daerah yang masih dinaiki air iaitu Pasir Mas dan Tumpat.

Di KUALA TERENGGANU, jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata seramai 900 daripada 956 mangsa banjir di Marang dibenarkan pulang hari ini dan daerah itu dijangka pulih sepenuhnya jika tiada hujan lewat petang ini.

"Keadaan banjir di Kuala Terengganu masih buruk dengan 1,692 orang daripada 334 keluarga masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Pengkalan Kubur ke Kampung Tembila, Besut kerana ditenggelami air sedalam 0.8 meter manakala Jalan Jeram Pulau Bahagia di sini, ditutup kepada kenderaan ringan.

Jurucakap itu berkata paras air di semua sungai utama di Terengganu berada di tahap biasa kecuali sungai Setiu di Kampung Bukit yang mencatat 12.39 meter iaitu melebihi paras bahaya dan sungai Marang di Pengkalan Berangan mencatat 12.54 meter (amaran 12.50 meter).

Di KOTA BAHARU, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan di negeri ini sehingga pukul 5.30 petang ini ialah 1,691 orang iaitu 1,098 di Pasir Mas manakala 646 orang di Tumpat.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata pusat pemindahan di Tanah Merah, Kota Baharu dan Kuala Krai ditutup sepenuhnya hari ini dan semua jalan utama dibuka untuk laluan kenderaan termasuk jalan Rantau Panjang Panglima Bayu.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim hari ini menjelaskan bahawa jumlah korban akibat banjir di Kelantan adalah enam orang, dan bukannya lima seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau berkata korban banjir pertama di negeri itu ialah seorang murid perempuan Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Banggol Saman, Siti Nor Izzati Fikriah Che Rozuki, 8, yang ditemui mati lemas di dalam sebuah kolam terbiar di Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas di sini 26 Nov lepas.

Lima korban banjir yang dilaporkan dari 30 Nov hingga semalam Nik Zulkifli Nik Kob, 26, Nur Amalia Ayob, 11, Salman Hakimi, 16, Mohamad Azdi Fikri Zakaria, 15, dan Osman Majid, 29. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain