suria

Sah, Hillary dicalon Setiausaha Negara AS

CHICAGO: Barack Obama menamakan Senator Hillary Rodham Clinton sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) yang baru apabila beliau mengambil alih kepimpinan negara itu bulan depan.

Beliau akan menggantikan Condolezza Rice, dan dijangka muncul sebagai Setiausaha Negara ketiga di kalangan wanita.

Malah, Obama yang dipilih sebagai Presiden AS ke-44 bulan lalu menamakan Robert Gates, yang kini berkhidmat di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush, untuk kekal Setiausaha Pertahanan.

Gates memegang jawatan Setiausaha Pertahanan sejak dua tahun lalu.

Dengan pengumuman penting itu yang diumumkan di sini semalam (awal pagi waktu Malaysia), Obama berkata, beliau akan berbincang dengan panglima tentera dan pemerintah sebelum memutuskan tempoh menarik keluar tentera Amerika dari Iraq.

Turut diumumkan ialah Jeneral (B) James Jones sebagai penasihat keselamatan kebangsaan White House, bekas pegawai Jabatan Kehakiman, Eric Holder sebagai Peguam Negara; Gabenor Arizona Janet Napolitano sebagai Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri dan Susan Rice sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Saya menghimpunkan pasukan ini kerana saya seorang yang yakin dengan personaliti yang kental dan mempunyai pandangan mantap," kata Obama, yang akan mengetuai White House mulai 20 Januari depan.

"Saya merasakan begitu caranya keputusan-keputusan terbaik dibuat. Salah satu bahayab di White House adalah, berdasarkan saya tentang sejarah, anda berakhir dengan fikiran berkumpulan dan kesemua bersetuju dengan apa semua perkara dan tiada keputusan dan tiada pandangan lain. Justeru, saya mahu menggalakkan perbahasan dalam isu yang dibawa di White House.

"Tetapi, saya akan menetapkan dasar sebagai presiden. Saya akan bertanggungjawab terhadap visi yang pasukan ini bawa dan saya fikir mereka akan melaksanakan visi berdasarkan keputusan yang dibuat," katanya.

Minggu lalu beliau mengumumkan Timothy Geithner sebagai Setiausaha Perbendaharaan.

"Saya bangga untuk menyertai anda...," kata Hillary, bekas wanita pertama White House.

Pelantikan Clinton, Holder, Napolitano dan Rice memerlukan pengesahan Senat.

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain