suria

Penyeludupan lembu kian ketara menjelang Hari Raya Aidiladha

JELI: Aktiviti penyeludupan lembu didapati semakin ketara di sempadan Malaysia-Thailand menjelang Hari Raya Aidiladha pada 8 Dis ini, dengan 62 ekor lembu bernilai RM124,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dirampas sejak beberapa minggu lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen Sempadan Lt Kol Amirudin Sulaiman berkata yang terbaru 16 ekor lembu bernilai RM32,000 dirampas di Pos Nurup, dekat sini pagi semalam.

"Anggota yang meronda sempadan terserempak dengan sekumpulan lelaki yang baru sahaja sampai ke tebing sungai sebelah Malaysia dengan berenang merentasi Sungai Golok sambil menarik lembulembu berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

"Bagaimanapun, menyedari kehadiran pasukan keselamatan, kesemua lelaki berkenaan melarikan diri dan meninggalkan lembu berkenaan di tebing sungai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut beliau, permintaan lembu di negeri ini meningkat secara mendadak dan lembu-lembu yang diseludup itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

Amirudin berkata kesemua lembu yang dirampas, diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar Kelantan.

Selain itu, beliau berkata tiga warganegara Thailand ditahan kerana memasuki negara ini tanpa mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain