suria

Mahkamah bubar parti pemerintah Thailand

[DIKEMAS KINI] BANGKOK: Krisis politik dan ekonomi Thailand terus terumbang ambing selepas Mahkamah Perlembagaan membubarkan Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan dua parti rakan dalam kerajaan campuran, serta melucutkan kelayakan Perdana Menteri Somchai Wongsawat yang menghadapi tekanan.

Panel sembilan anggota itu juga melarang jawatankuasa kerja parti daripada menjalankan aktiviti politik selama lima tahun di bawah Artikel 237 Perlembagaan 2007 yang digubal tentera.

Somchai, 51, yang bersembunyi di bandaraya Chiang Mai di bahagian utara demi mempastikan keselamatannya selepas dua lapangan terbang ibu negara ditutup oleh penunjuk perasaan anti-kerajaan, sedang mempengerusikan satu mesyuarat Kabinet bila keputusan yang memang dijangka ramai itu dibacakan.

Mesyuarat Kabinetnya berakhir dengan keputusan menangguhkan Sidang Kemuncak Asean ke-14 ke Mac 2009.

Bekas hakim, ipar kepada perdana menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan itu, baru saja mengambil alih jawatan pada 18 Sept.

Samak Sundaravej, yang membawa PPP kepada kemenangan dalam pilihan raya Disember 2007, dilucutkan kelayakan oleh Mahkamah Agung kerana muncul dalam rancangan memasak di televisyen semasa memegang jawatan berkenaan.

Tanpa sokongan tentera dan polis, Somchai kini menjadi pemimpin yang lemah dan beliau tidak pernah berpeluang menjejakkan kaki di Pejabat Perdana Menteri di Rumah Kerajaan yang dirampas oleh Perikatan Demokrasi Rakyat (PAD) pada 26 Ogos.

Pejabat sementara beliau di Lapangan Terbang Don Muang diambil alih oleh penunjuk perasaan Isnin lepas.

Timbalan Perdana Menteri Chaovarat Chanweerakul akan menjadi perdana menteri sementara sehingga pengganti Somchai dilantik, kemungkinan pada 8 Dis, satu proses yang tidak mungkin berjalan lancar ekoran pembubaran tiga parti politik itu dan langkah "jalan belakang".

Beratus-ratus penunjuk perasaan pro-kerajaan yang berpakaian merah cuba menyekat keputusan itu hari ini bila mereka mengepung Mahkamah Perlembagaan tetapi hakim-hakim berpindah ke Mahkamah Pentadbiran Agung di kawasan Chaeng Wattana yang diletakkan di bawah kawalan ketat tentera dan polis.

Penyokong PPP berikrar akan menentang sebarang keputusan untuk membubarkan parti mereka, yang mereka dakwa dirancang untuk mententeramkan PAD selepas kumpulan antikerajaan menutup lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang sejak 24 Nov.

Keputusan itu disambut dengan sorakan gembira oleh beratus-ratus penyokong PAD yang menguasai terminal penumpang dua lapangan terbang itu, tetapi pemimpin mereka berkata belum ada keputusan dibuat sama ada akan bersurai dari situ.

Lebih 300,000 warga asing berkandas di Thailand akibat penutupan lapangan terbang itu tetapi tentera dan polis enggan menguatkuasakan perintah Somchai untuk menyuraikan mereka.

Pembubaran PPP berkaitan dengan kes penipuan pilihan raya melibatkan timbalan ketuanya dan bekas Speaker Dewan Yongyuth Tiyapairat yang dilucutkan kelayakan oleh Mahkamah Agung pada Julai.

Keputusan terbaru ini pasti akan menyebabkan kemarahan penyokong Thaksin.

Pada 2007, Mahkamah Perlembagaan juga membubarkan parti yang diasaskan oleh Thaksin, parti Thai Rak Thai (TRT) atas kesalahan yang sama dan ini membawa kepada kelahiran PPP.

Kesemua 111 eksekutifnya, termasuk Thaksin diharamkan bergiat selama lima tahun.

PPP telahpun membuat rancangan darurat, membentuk parti Puea Thai bagi menyerap semua anggota parlimennya dan cuba membentuk sebuah lagi kerajaan campuran.

Thailand bergolak sejak seminggu lalu selepas penutupan lapangan terbang, dan ramai bimbang keputusan mahkamah itu akan mencetuskan lebih banyak kekacauan dan mungkin juga perang saudara oleh kerana penyokong Thaksin bertekad untuk menentang sebarang percubaan rampasan kuasa atau membubarkan PPP.

Terdapat siri kekacauan di kawasan yang dikuasai PAD, termasuk kejadian tengah malam kelmarin yang menyebabkan seorang penunjuk perasaan terbunuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain