suria

Khaled: Tiada pelajar Malaysia terbabit dalam serangan pengganas di Mumbai

KUALA LUMPUR: Tidak ada pelajar Malaysia yang berada di 10 lokasi strategik di Mumbai, India ketika pengganas melakukan serangan nekad sehingga mengorbankan 195 nyawa minggu lalu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam.

"Saya tak fikir ada... kerana tidak ada pelajar Malaysia di sana walaupun ada yang dihantar ke India bagi kursus perubatan tetapi ia di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bukan di situ," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Mohamed Khaled bagaimanapun berkata kerajaan tetap mengambil berat mengenai hal itu dan sentiasa mengikuti perkembangannya bagi membolehkan tindakan segera diambil atas sebarang kemungkinan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkata dakwaan bahawa pengganas yang melancarkan serangan di Mumbai minggu lalu menggunakan alamat Malaysia untuk menyewa rumah di bandar raya itu masih belum terbukti kesahihannya.

"Perkara itu hanyalah dakwaan semata-mata dan masih belum ada sebarang bukti berhubung perkara itu.

"Ini dakwaan yang belum ada bukti. Kita berhubung dengan Interpol untuk sahkan dan lepas itu, kita akan buat kenyataan susulan," katanya selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di sini, semalam.

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain