suria

Kayveas, jangan amal politik ugutan!

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas semalam yang mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum pilihan raya umum akan datang merupakan satu ugutan yang tidak diamalkan dalam BN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, jika parti itu tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak meminda ISA, PPP boleh terus keluar dari BN tanpa perlu menunggu sehingga pilihan raya akan datang.

"Setakat ini pun, seperti kenyataan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Syed Hamid Albar), kita tidak akan meminda ISA.

"Jadi tidak perlulah (tunggu) untuk pilihan raya ini. Lebih baik mereka keluar saja," katanya di sini semalam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Padang Rengas berkata, tindakan PPP yang meminta pindaan terhadap akta itu merupakan satu usaha untuk mengalihkan kekalahan teruk parti tersebut kepada Umno.

"Kita mempertahankan ISA dan ini tidak berubah," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kenyataan yang dibuat oleh Kayveas itu tidak sesuai dengan semangat BN kerana perkongsian kuasa yang diamalkan BN pada masa ini bukan atas dasar ugut-mengugut.

"Kita datang bersama-sama kerana nak memimpin rakyat kita dengan cara baik.

"Setiap parti komponen mempunyai peranan yang penting. Bila ada parti komponen yang buat kenyataan sedemikian, kita kecewa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN-BBC), Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan ugutan PPP sebagai sesuatu yang tidak wajar.

“BN macam ahli keluarga, kenapa perlu mengugut-ugut macam ini? Sebagai keluarga tidak wajar kita buat macam ini.

“Kalau anak-anak dalam satu keluarga tak dapat benda yang dia mahu, dia boleh ugut ibu bapa. Macam itukah? Takkan kita nak buat macam tu pada keluarga kita,” katanya.

Tiong berkata, PPP sepatutnya berbincang dengan baik termasuk mengemukakan cadangan sebelum mengambil tindakan terburu-buru mengeluarkan kenyataan itu.

"Saya rasa kita boleh berbincang cara elok, adakan forum. Kita luahkan rasa tidak puas hati secara konstruktif. Baru boleh selesai masalah,” ujarnya.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh ISA pada masa ini adalah berhubung pelaksanaanya namun akta itu wajar dikekalkan.

“Saya lihat ISA ini masalahnya cuma satu, iaitu pelaksanaanya kena betul itu sahaja. Kita kena ingat bukan di Malaysia saja ada ISA, di Singapura dan Britain pun ada akta ini,” katanya.

Kelmarin, Kavyeas berkata, parti itu akan keluar dari BN jika ISA tidak dipinda sebelum pilihan raya umum akan datang.

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain