suria

Polis tahan tiga lelaki, rampas dadah bernilai RM400,000

PULAU PINANG: Polis menahan tiga lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM400,000 dalam dua serbuan di sekitar Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata dalam serbuan pertama pada 22 Nov lepas, polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 30an di sebuah rumah di kawasan Kepala Batas dekat sini dan merampas dadah jenis ganja seberat 14 kilogram.

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Wish dan wang tunai bernilai RM2,406 milik mereka, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 25 Nov lepas, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30an di kawasan Lebuh Pantai di sini.

Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah jenis heroin seberat 8.8 kilogram dan serbuk putih disyaki dadah seberat 25 kilogram di rumahnya di sekitar kawasan itu, katanya.

Ayub berkata dalam polis turut merampas sebuah kereta jenis Gen 2 dan sebuah motosikal milik lelaki itu.

"Kedua-dua sindiket yang bergerak berasingan itu dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar negeri ini sejak beberapa bulan lepas," katanya.

Sementara itu, polis merampas tiga pucuk pistol dan 139 butir peluru serta menahan enam lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun dipercayai anggota sebuah sindiket pengedaran dadah dalam operasi cegah jenayah 24 Nov lepas.

Ayub berkata tiga lelaki di tahan ketika sedang menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 12.15 pagi di Butterworth dekat sini, manakala tiga lagi ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam yang dipercayai dijadikan markas kumpulan itu.

"Polis menemui sepucuk pistol, 22 butir peluru dan 500 biji pil jenis WY di dalam kereta berkenaan manakala dua pucuk pistol dan 117 butir peluru serta satu gari ditemui dalam rumah itu," katanya.

Sindiket dadah itu dipercayai bergerak aktif sejak awal tahun ini dan kesemua mereka yang ditahan itu direman sehingga 4 Disember ini, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita BN mula mesyuarat enam jam

Artikel Lain