suria

MAS bawa balik 750 penumpang terkandas di Bangkok

BANGKOK: Penerbangan Malaysia (MAs) melakukan tiga lagi penerbangan menyelamat hari ini dari lapangan terbang Utapao untuk membawa pulang kira-kira 750 penumpang yang terkandas ke Kuala Lumpur, termasuk seorang wanita yamg mengalami strok ringan.

Pengurus kawasan MAS untuk Thailand, A. Vijakumaran berkata wanita tersebut yang mengalami strok semasa menghadiri mesyuarat di Bangkok dibawa dengan ambulans ke lapangan terbang Utapao berhampiran Pattaya sebelum di bawa menaiki pesawat Boeing 747 MAS.

"Kita membuat persiapan yang perlu untuk membawanya pulang," katanya apabila dihubungi di lapangan terbang yang penuh sesak teruk itu di mana 48 penerbangan berlepas dan mendarat dijadualkan hari ini.

Menurut Vijakumaran, dua penerbangan pertama menggunakan pesawat Airbus dan Boeing 737 yang penuh manakala pesawat Boeing 747 membawa kira-kira 300 penumpang.

Katanya lebih ramai penumpang tidak dapat menaiki pesawat Boeing 747 itu kerana kesukaran memasuki kawasan dewan berlepas selepas ia dututup oleh pihak tentera.

"Ia tersangat sesak di dalamnya dan anggota tentera menutup pintu untuk menyuraikan keadaan di kaunter checkin dan imigresen. Terdapat antara 800 hingga 900 penumpang daripada banyak penerbangan lain di terminal dan kita tidak boleh lagi melewatkan penerbangan," katanya.

Setakat ini MAS berjaya menerbangkan lebih 1,300 penumpang yang terkandas yang kebanyAkannya rakyat Malaysia, dengan menggunakan enam pesawat sejak Jumaat lepas apabila pangkalan tentera laut itu dibuka kepada penerbangan komersial selepas lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang diduduki oleh penunjuk perasaan anti-kerajaan sejak seminggu yang lalu.

Sementara kebanyakan penumpang yang terkandas itu telah diterbangkan ke Kuala Lumpur, Vijayakumaran berkata MAS akan melakukan dua penerbangan hari ini yang masing-masing akan berlepas pada 11.05 pagi dan 5.10 petang.

Beliau berkata walaupun mengalami kesukaran untuk mendapatkan slot di sini, misi menyelamat adalah berjaya, kecuali semalam apabila penerbangan ketiga telah diarah berpatah balik ke Kuala Lumpur ekoran kesesakan di Utapao.

"Kita berterima kasih kepada pihak lapangan terbang Thai dan kakitangan kita yang bekerja 24 jam sejak beberapa hari lalu bagi membantu penumpang yang terkandas. Pejabat kita di Bangkok turut dibuka pada hari Ahad," katanya.

MAS turut dibanjiri warga asing yang mahu berlepas ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan penerbangan sambungan seterusnya ke negara masing-masing. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita BN mula mesyuarat enam jam

Artikel Lain