suria

Tingkat enam Taj Mahal Palace Hotel makan banyak korban

MUMBAI: Tingkat enam Taj Mahal Palace Hotel, yang menjadi sasaran utama serangan sekumpulan militan di bandar raya kewangan ini Rabu lepas, menyaksikan paling banyak kematian dalam peristiwa itu.

Di tingkat yang teruk terbakar itulah juga, mayat rakyat Malaysia Hema Kassipillai dijumpai.

Seperti bilik lain, bilik bernombor 637, tempat Hema menginap, terbakar sepenuhnya setelah tingkat berkenaan menjadi medan pertempuran antara kumpulan militan yang tidak diketahui jumlahnya itu, dan pasukan keselamatan India.

Kumpulan militan itu dipercayai datang ke hotel berkenaan melalui laut untuk menjadikannya markas mereka dan bertindak ganas terhadap penghuninya hingga pagi Sabtu, apabila serangan mereka berjaya dipatahkan sepenuhnya.

Akhbar The Times of India menyiarkan laporan terperinci tentang hotel 565 bilik itu, yang dibina pada 1903 oleh usahawan terkenal Jamsetji N. Tata.

Antara penghuni tingkat enam hotel itu ialah editor perunding akhbar berkenaan Sabina Sehgal Saikial, yang turut terbunuh dalam serangan berkenaan.

Isteri kepada pengurus besar hotel berkenaan, Karambir Kang, dan dua anak lelaki mereka juga menemui ajal dalam kebakaran di tingkat itu.

Seorang lagi pelanggan hotel ini ialah jutawan Greece Andreas Liveras. Beliau dikatakan terbunuh akibat tembakan pengganas.

Bagaimanapun, bekas model terkenal kelahiran bandar raya ini Gurpreet Gill, yang kini menetap di Singapura, terselamat daripada maut walaupun beliau telah terserempak dengan dua anggota kumpulan militan berkenaan, yang tinggal di sebelah biliknya.

Kumpulan militan itu, yang menggunakan kemudahan blackberry bagi memantau laporan berita dan telefon satelit, telah merosakkan semua bilik yang menghadap Laut Arab, termasuk bilik presiden, serta memusnahkan lukisan mahal, perabot dan permaidani tenunan tangan, kata akhbar itu.

Kementerian Dalam Negeri India menyatakan 183 orang, termasuk 22 warga asing, terbunuh dalam keganasan itu.

Hotel yang menjadi antara mercu tanda utama bandar raya kewangan ini dan dibina oleh usahawan terkenal Jamsetji N. Tata, memiliki seni bina menakjubkan, hasil gandingan reka bentuk Florentine, Moorish dan Oriental.

Sayangnya, segala kehebatan dan keunikan yang dimilikinya itu, kini tercalar akibat serangan tersebut.BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain