suria

Perwakilan PKR mahu PAS tolak ansur letak calon di Kuala Terengganu

SHAH ALAM: Ahli akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR), mahu PAS bertolak ansur dalam meletakkan calon dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Seorang perwakilan Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razali Alias berkata PAS seharusnya lebih bersikap tolak ansur dan memberikan laluan kepada PKR untuk menampilkan calon terbaiknya bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).

"Kita harap gelombang yang berlaku dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh dapat dibawa ke Kuala Terengganu.

"Lagi pun majoriti BN dulu terlalu nipis, kita sedar ia kerusi PAS sebelum ini, tetapi diharapkan supaya mereka yang sama-sama dalam Pakatan Rakyat bertoleransi," katanya semasa membahaskan usul pendidikan di kongres berkenaan di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, harapan bahagian perhubungan negeri Terengganu supaya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan cadangannya supaya meletakkan calon tempatan dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong setelah penyandangnya sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu. Pada pilihanraya umum yang lalu, PAS mempertaruhkan Naib Presidennya, Mohamad Sabu namun tewas.

Allahyarham Razali memperoleh 32,562 undi menewaskan Mohamad Sabu (31,562 undi) dan calon Bebas, Maimun Yusof, 89, (685).

Jelas beliau lagi, kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh boleh memberikan impak kepada pilihan rakyat terutama di Kuala Terengganu.

"Kita mahukan orang tempatan, lagi pun Mohamad Sabu orang luar," katanya.

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain