suria

Muhyiddin: Tukar sistem atasi politik wang

PETALING JAYA: Dalam usaha membanteras politik wang dalam Umno, naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan pemilihan pemimpin parti dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian masing-masing, dan bukannya terhad kepada 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti itu.

"Saya mempunyai beberapa cadangan untuk mengatasi salah laku yang memberi pandangan negatif terhadap Umno. Satu daripadanya ialah membenarkan perwakilan mesyuarat bahagian untuk memilih pemimpin. Pada masa ini nasib pemimpin parti terletak dalam tangan 2,500 perwakilan yang dipilih ke perhimpunan agung.

"Walaupun ini memerlukan pindaaan perlembagaan Umno, saya rasa ia satu cara kita boleh menangani politik wang dalam parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pengurusan dan pentadbiran Pemuda Umno Pagoh di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai contoh, bahagian Pagoh, yang diketuainya, mempunyai 444 pemimpin peringkat akar umbi yang mengundi untuk memilih pemimpin peringkat nasional, berbanding lima menggunakan sistem yang ada sekarang.

"Dengan cara ini lebih ramai pemimpin Umno di peringkat akar umbi akan terlibat dalam pemilihan pemimpin peringkat nasional. Semua bahagian boleh mengadakan mesyuarat pada hari yang sama untuk memilih pemimpin parti dan pengiraan undi boleh dibuat di peringkat bahagian dan dikumpul di ibu pejabat. Pengumuman pemenang boleh dibuat hari berikutnya.

"Idea ini boleh diperkemas. Ini hanya satu idea yang saya lontarkan. Ia adalah untuk kebaikan parti keseluruhannya. Kita perlu memperbaiki pandangan masyarakat terhadap Umno dan dengan ini, kita boleh bergerak ke hadapan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata, walaupun idea itu tidak boleh dilaksana pada perhimpunan Agung Umno Mac depan, ia boleh diguna untuk jangka panjang sebagai usaha bagi mengatasi politik wang dalam parti.

Calon jawatan timbalan presiden Umno itu berkata, kertas kerja cadangan bagi menambahbaik sistem pemilihan parti itu akan dibuat untuk diserah kepada kepimpinan tertinggi Umno tidak lama lagi.

"Saya juga akan mencadangkan kita hapuskan sistem kuota. Sistem itu memerlukan melobi dan secara langsung menyumbang kepada politik wang," katanya dan menjelaskan bahawa parti politik terbesar itu mungkin perlu menubuhkan jawatankuasa pemilihan pada masa depan jika cadangan itu dilaksana.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Lembaga Disiplin Umno yang menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam politik wang perlu menambah jumlah pegawai penyiasat bagi memastikan tidakan yang lebih cepat dan berkesan.

"Saya setuju tindakan perlu dibuat dengan cepat tetapi jumlah pegawai dalam panel penyiasat perlu ditambah. Tanpa tenaga kerja, bagaimana mereka nak siasat lebih 1,000 aduan dalam masa yang singkat.

"Tambahan pula, sisatan memerlukan masa dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Mereka perlu melengkapkan siasatan dengan teliti. Bagi memastikan siasatan yang adil dan lengkap, mereka memerlukan masa, tetapi jika kita tambah jumlah pegawai penyiasat, mereka boleh mengambil masa dan memberi tumpuan yang lebih," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa daripada lebih 1,000 aduan mengenai politik wang di dalam parti, 75 peratus adalah dakwaan palsu, beliau berkata perkara itu perlu dijelaskan oleh Lembaga Disiplin Umno.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu tetapi ia terpulang kepada lembaga untuk memutuskan. Mereka perlu menyiasat dan kemudian membuat keputusan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain