suria

Muar 'pintu masuk' pilihan sindiket perdagangan haiwan eksotik

MUAR: Kejayaan pihak berkuasa membanteras beberapa kes penyeludupan haiwan eksotik di Muar kebelakangan ini menunjukkan daerah itu kini menjadi "pintu masuk" pilihan sindiket perdagangan haiwan eksotik tempatan.

Ketua Polis Marin Muar ASP Mohamad Pouzi Abdul Rauf berkata sindiket-sindiket terbabit mengambil kesempatan daripada kedudukan pantai Muar yang terletak berhampiran kawasan perairan Indonesia.

"Parit Jawa, Muar hanya terletak kira-kira 20 Batu Nautika dari kawasan perairan Indonesia. Mereka (penyeludup) daripada negara jiran boleh sampai ke Muar di dalam tempoh kirakira dua jam sahaja," katanya dalam temuramah eksklusif baru-baru ini.

Beliau berkata sindiket perdagangan haiwan eksotik tempatan menggunakan pendekatan menyeludup masuk haiwan itu daripada negara jiran berikutan harganya yang jauh lebih murah dan masalah mendapatkan bekalan daripada dalam negara.

"Tenggiling yang mencapai nilai yang tinggi di pasaran sukar untuk diperoleh di dalam negara dan sindiket terbabit membawa masuk haiwan itu dari negara jiran, sebelum diseludup ke Thailand," kata Mohamad Pouzi.

Sejak kebelakangan ini, Muar melihat beberapa kejayaan pihak berkuasa seperti Polis Marin dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas haiwanhaiwan eksotik yang cuba diseludup masuk daripada Indonesia.

Terbaru adalah pada Rabu lepas apabila Polis Marin Muar diketuai sendiri Mohamad Pouzi menahan tiga lelaki dan merampas 65 ekor Tenggiling dan seekor LabiLabi yang dianggar bernilai RM72,000 di Permatang Pasir, Bukit Pasir.

Pada Oktober lepas, pihak berkuasa itu turut menahan dua lelaki Orang Asli tempatan dan merampas 42 ekor Tenggiling yang diseludup dari Indonesia daripada sebuah bot di perairan Parit Jawa.

Kejayaan Polis Marin Muar pada Oktober itu menyusuli penahanan lapan lelaki dan 16 ekor haiwan eksotik juga dari Indonesia di kawasan perairan yang sama pada September.

Namun kejayaan terbesar rampasan haiwan eksotik berlaku pada pada 4 dan 8 Nov lepas apabila anggota Wildlife Crime Unit (WCU) Jabatan Perhilitan menyerbu dua buah rumah yang dijadikan stor penyimpanan haiwan terbabit di Muar dan Segamat.

Dalam operasi itu, mereka menemui pelbagai jenis haiwan eksotik termasuk 7,093 ekor Biawak Tikus seberat 35 tan, yang dipercayai untuk pasaran eksport.

Mohamad Pouzi berkata berdasarkan keterangan daripada penyeludup yang ditahan, selepas haiwan eksotik itu dibawa masuk ia akan disimpan terlebih dahulu di rumahrumah yang selamat di Muar dan Segamat.

Selepas itu katanya, haiwan eksotik itu akan dipindah dan dibawa dengan lori ke sempadan Thailand menggunakan lingkaran jalan raya yang sunyi di pantai timur.

"Haiwan-haiwan terbabit akan diseludup masuk ke Thailand selepas itu," katanya.

Beliau berkata berikutan kekerapan kejadian penyeludupan haiwan eksotik di Muar, pihaknya telah menambah kekuatan termasuk bot-bot berkuasa tinggi untuk mengawasi perairan negara daripada sebarang pencerobohan oleh penyeludup. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain