suria

Kerajaan tingkat hubungan risikan dengan pasukan luar

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan mempergiatkan lagi kerjasama dan hubungan risikan dengan negara luar demi memastikan keselamatan negara terjamin, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Abu Seman.

Beliau berkata, pergolakan yang berlaku di beberapa negara seperti serangan militan di Mumbai, India serta krisis politik yang sedang berlaku di Thailand, meletakkan negara sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

"Apa yang berlaku selepas kejadian 11 Sept, membuatkan kita di Malaysia sentiasa berjaga-jaga. "Kita sentiasa berwaspada ... kita tidaklah rasa selesa. Benda-benda macam ini (kejadian di Mumbai dan Thailand), sentiasa membuatkan kita dalam keadaan siap siaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand dengan menambah bilangan anggota keselamatan termasuk Askar Wataniah yang diserap ke dalam pasukan tetap sempadan.

"Dengan ada anggota ini, dari segi keselamatan kita dapat dipertingkatkan sama ada ancaman dari luar dan halhal lain yang melibatkan keselamatan negara," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain