suria

Kadar bantuan bina rumah rakyat termiskin dinaikkan berkuatkuasa serta merta

TUARAN: Kadar bantuan membina rumah rakyat termiskin di seluruh negara dinaikkan sehingga RM33,000 seunit di Semenanjung dan RM40,000 seunit bagi Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa serta merta.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata kenaikan kadar bantuan itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet 1 Okt lepas.

Beliau berkata mengikut kadar baru itu, bantuan membina rumah dua bilik di semenanjung kini RM29,300 manakala rumah tiga bilik ialah sehingga RM33,000 berbanding kadar lama iaitu antara RM20,300 seunit dan RM22,300 seunit.

Bagi Sabah dan Sarawak, kadar baru bantuan bina rumah ialah RM33,000 seunit untuk rumah dua bilik dan RM40,000 seunit bagi rumah tiga bilik berbanding kadar lama iaitu RM22,300 hingga RM25,300 seunit, katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Mengkabung, dekat sini hari ini.

Muhammad berkata kadar baru itu akan memberi peluang kepada keluarga miskin tegar yang belum memiliki rumah, ibu atau bapa tunggal yang ramai tanggungan serta mangsa bencana dari kalangan keluarga miskin tegar mendapat rumah baru yang lebih baik termasuk menggantikan rumah kayu yang usang dengan rumah batu atau separuh batu. "Kenaikan bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan untuk menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih baik kepada golongan yang belum atau tidak memiliki rumah," katanya.

Beliau berkata mesyuarat jemaah menteri juga meluluskan kadar baru bantuan baikpulih rumah sedia ada sehingga maksimum RM11,000 di semenanjung dan RM12,000 di Sabah dan Sarawak.

Jumlah itu meningkat antara 33 peratus hingga 37 peratus berbanding kadar lama iaitu antara RM8,000 seunit di semenanjung dan RM9,000 seunit di Sabah dan Sarawak, katanya.

Muhammad berkata kadar baru itu akan digunapakai untuk projek pembinaan rumah Program Bantuan Rumah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat yang dilaksana kementerian itu.

Beliau berkata dengan kadar baru itu akan membantu menghapuskan sepenuhnya kadar kemiskinan tegar di luar bandar menjelang tahun 2010 dan mengurangkan kemiskinan negara dari 5.7 peratus (2004) kepada 2.8 peratus menjelang 2010.

Mengenai pembangunan Kampung Mengkabung, Muhammad berkata beliau meminta kementerian untuk menyediakan pelan pembangunan kawasan itu bagi memudahkan penyaluran peruntukan luar bandar untuk faedah penduduk.BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain