suria

Hishammuddin: Mereka yang pertikai konsep ketuanan Melayu, hati tak ikhlas

KUALA LUMPUR: Mereka yang masih mempertikai konsep ketuanan Melayu adalah disebabkan hati yang tidak ikhlas, malah melibatkan pertimbangan peribadi dan politik, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata segelintir pemimpin yang mengungkit perkara itu disifatkan sengaja mahu menjadi 'hero' atau menjadikan perkara itu sebagai isu untuk meletakkan kawan-kawan sendiri dalam partinya atau parti lain berada dalam situasi yang perlu menjawab kepada isu yang dibangkitkan itu.

Katanya, dalam suasana landskap politik yang berubah pada masa kini, pemimpin berkenaan sebenarnya masih tercari-cari bagaimana meletakkan dan menempatkan diri serta perjuangan mereka dalam senario politik negara hari ini.

"Orang ramai sebenarnya sudah muak dengan isuisu yang dibangkitkan berkisar kepada agama, kaum dan politik semata-mata. Malaysia melalui pilihan raya umum lebih tujuh bulan dan orang ramai hendak tengok kerja-kerja dilaksanakan.

"Jika masih dibelenggu dengan isu-isu sebegini, bila nak buat kerja?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru sempena Majlis Grand Reunion Alumni Maktab Kirkby di Institut Tadbiran Awam Negara Bukit Kiara di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyatakan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan di Malaysia dan ditolak oleh rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno turut meminta supaya pemimpin yang masih lagi terkapai-kapai mencari hala tuju perjuangan peribadi mereka tampil untuk berbincang secara baik daripada berterusan meluahkan sesuatu yang akhirnya akan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sementara itu, dalam satu majlis berasingan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau merasa kesal dengan komen dua pemimpin MCA itu kerana perkara berkenaan tidak sepatutnya ditimbulkan oleh mana-mana pihak.

"Ia sudah dinyatakan dalam perlembagaan, mengenai kedudukan raja-raja, kedudukan kaum Melayu dan sebagainya. Ini sudah jelas, semua orang tahu mengenainya dan ia bukan lagi isu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Lukisan di Annexe Gallery, Pasar Seni di sini, semalam.

Katanya, beliau merasa kecewa apabila kenyataan itu datang dari rakannya yang sebelum ini pernah berada dalam kabinet, sedangkan menurutnya semua pemimpin seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memainkan peranan untuk bekerjasama membangunkan negara. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

JOHOR BAHRU: Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai konsep Ketuanan Melayu sebagai tidak lagi relevan merupakan pandangan peribadi Timbalan Presiden MCA itu sendiri dan bukan menggambarkan pendirian parti.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata pendirian MCA sebagai sebuah parti akan berpandukan kepada ketetapan yang dibuat oleh presiden atau pengerusi negeri.

Kenyataan mengenai pendirian MCA juga hanya boleh dibuat oleh jurucakap di bawah biro penerangan parti itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Johor mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan selepas pemilihan parti peringkat kebangsaan yang diadakan bulan lepas.

Khamis lepas, Chua dilaporkan berkata Konsep Ketuanan Melayu di negara ini tidak lagi relevan dan ditolak rakyat pelbagai kaum, khususnya generasi muda dan ini telah diisyaratkan melalui keputusan pilihan raya umum yang lepas.

Mengenai pelantikan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi 24 biro di bawah jawatankuasa perhubungan negeri itu, Ong berkata jawatan bukan untuk mereka bermegahmegah tetapi merupakan tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh setiap anggota parti yang telah dilantik.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pula menasihati MCA supaya tidak mengungkit isu yang boleh menjejaskan perasaan sesuatu kaum, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha memperbaiki parti itu.

Beliau yang merupakan salah seorang calon Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan, berkata perbuatan ungkit-mengungkit tidak membawa sebarang faedah kepada Barisan Nasional (BN), malah ia boleh memporak-perandakan negara.

"Jangan gelabah, kalah di dalam pilihan raya adalah biasa tetapi janganlah panik tidak tentu arah sehingga mengusik perasaan rakan, hanya untuk mempopularkan diri. Ia bukanlah suatu tindakan yang baik," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia berkata demikian kepada pemberita selepas menutup secara rasmi Kursus Kejurulatihan Tinju Kebangsaan Tahap Dua di Majlis Sukan Negeri Johor di sini.

Mohd Isa berkata MCA sebenarnya masih dihantui perasaan panik yang amat tebal berikutan kekalahan teruk yang dialaminya pada pilihan raya umum Mac lepas.

Katanya MCA yang merupakan sebahagian daripada parti komponen BN perlu mengakui bahawa BN yang bergantung kepada persefahaman yang kuat di antara pelbagai kaum merupakan parti yang terbaik untuk menguruskan Malaysia.

"Jangan terlalu melayan perasaan kecewa yang terdapat di dalam diri. Jikalau kita terlalu melayan perasaan kecewa, kita tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Kita masih mempunyai masa untuk memperbetulkan parti," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain