suria

Wanita PKR perlu sedia pecah dominasi lelaki dalam politik

SHAH ALAM: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), disaran sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan cabaran dunia politik tanahair bagi memecahkan dominasi kaum lelaki.

Penglibatan serius kaum wanita menyertai arena politik yang selama ini dianggap hanya sesuai bagi kaum lelaki sangat penting bagi membuktikan kepada kepimpinan parti bahawa wanita mampu dan bersedia memikul tanggungjawab demi memperjuangkan agenda perjuangan parti.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizibeth Wong berkata pemikiran stereotaip bahawa golongan lelaki mesti menjadi ketua bagi sesuatu kepimpinan perlu diubah jika mahu melihat perubahan pentadbiran parti itu.

"Kita perlu pecahkan pemikiran stereotaip sebegitu, jika tidak kita sebagai Wanita PKR tidak akan ke mana-mana dan apa yang kita lakukan sekarang ini ialah langkah baik untuk masuk dalam gelanggang (politik).

"Kita perlu buktikan pada masa akan datang kita sudah tidak perlukan kuota (penglibatan wanita 30 peratus), tapi buat masa ini kita masih memerlukannya," katanya dalam forum Bicara Bersama Wakil Rakyat Wanita PKR malam tadi.

Forum berkenaan dihadiri oleh ketujuh-tujuh wakil rakyat wakita PKR iaitu ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Sallah, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizibeth Wong, ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha, ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan ADUN Rawang, Gan Pei Nei.

Moderator bagi forum berkenaan ialah bekas wartawan dan personaliti televisyen Tengku Elida Bustaman.

Elizibeth juga berkata latihan dan kursus peningkatan diri wanita seperti latihan kepimpinan dan komunikasi perlu sentiasa diterapkan terutamanya bagi wanita di luar bandar yang dilihat agak sukar untuk mengakses kepada perkembangan-perkembangan terkini.

Sementara itu Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata semangat integriti perlu menjadi amalan seharian terutamanya bagi ahli-ahli politik kerana nilai dan kepimpinan seseorang itu sentiasa menjadi ukuran.

"Integriti bagi seseorang itu perlu terutamanya bagi memastikan tidak berlaku sebarang budaya tidak sihat seperti rasuah, terlibat dengan skandal seks dan aktiviti tidak bermoral yang lain.

"Jangan ingat soal skandal seks ini hanya peringatan untuk orang lelaki...orang perempuan pun ada, kita orang perempuan juga harus hati-hati dan elak daripada berlaku," katannya.

Bagi Nurul Izzah, beliau menasihatkan pihak pentadbiran kerajaan di semua peringkat terutamanya bagi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sentiasa mengamalkan sifat integriti dan akauntabiliti.

"Soal ini penting terutamanya bagi menguruskan dana kewangan kerana kita memerlukan pengurusan sumber yang jelas dan terpeinci bagi mengelakkan salah guna kuasa dan politik wang.

"Bila sebut mengenai integriti, saya hanya ingatkan soal politik wang yang menular dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga rakyat melihat melaluinya peluang untuk mereka untuk mendapatkan projek," katanya.

Menurut beliau lagi pemantauan yang berkesan perlu dilaksanakan secara berterusan agar setiap peruntukan yang dibelanjakan dapat diketahui dengan jelas.

"Kita perlu memastikan soal integrii kekal dengan imej kita, bukan sahaja dalam PKR malah PAS dan DAP.

"Melaksanakan pentadbiran dengan peruntukan kewangan yang sedikit memang sesuatu yang sukar, tapi itu adalah sebagai cabaran kerana dengan wang yang sedikit akan mengingatkan kita dengan integriti serta menghindari dengan politik wng dan rasuah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut